ALEXANDRE (tengah) bangga Haiti  dapat menentang Brazil.
ALEXANDRE (tengah) bangga Haiti dapat menentang Brazil.
AP

Orlando, AS: Pertahanan Haiti Jean Marc Alexandre sedar pasukannya berdepan saingan getir menentang Brazil pada Copa America Centenario.

Haiti menghuni tangga ke-74 dalam ranking dunia FIFA manakala Brazil di tangga ketujuh. Haiti hanya sekali beraksi pada pusingan akhir Piala Dunia manalala Brazil menjuarai kejohanan utama bola sepak itu lima kali.

Haiti dan Brazil bertemu pada perlawanan kedua Kumpulan B hari ini dengan masing-masing mengintai kemenangan pertama.

“Brazil satu kuasa besar, mungkin negara bola sepak paling kuat di dunia,” ujar Alexandre semalam. “Satu penghormatan buat kami berada dalam satu padang bersama mereka.”

Brazil meraih satu mata dalam Kumpulan B selepas seri tanpa jaringan dengan Ecuador. Brazil menguasai perlawanan itu namun gagal menyudahkan peluang mereka. Mereka bimbang perkara sama berlaku ketika menentang Haiti.

“Realitinya kami perlu menghormati lawan dan sedar kami tidak boleh bersenang-lenang,” kata pertahanan Brazil Marquinhos.

“Kami banyak mencipta peluang menentang Ecuador tapi kami tidak menggunakannya. Kami perlu menyumbat gol.”

Haiti tetap berasa lega di sebalik kalah 0-1 kepada Peru pada perlawanan pertama Copa America. - AP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Jun 2016 @ 10:26 AM