WAN Norzaimah tidak perlu merungut dengan mengenai kemampuannya dalam menguruskan keluarga.
WAN Norzaimah tidak perlu merungut dengan mengenai kemampuannya dalam menguruskan keluarga.
FAUZIAH tidak perlu merungut dengan mengenai kemampuannya dalam menguruskan keluarga.
FAUZIAH tidak perlu merungut dengan mengenai kemampuannya dalam menguruskan keluarga.
Isma Ismail

Alhamdulillah, bersyukur kepada Yang Maha Esa kerana dilanjutkan usia untuk merasai Ramadan tahun ini yang juga buat kali kedua selepas berkelana di bumi Terengganu Darul Iman ini.

Sudah masuk hari keempat Ramadan dan di bulan mulia dan penuh keberkatan ini, seharusnya kita mengambil kesempatan dan peluang yang ada untuk menggandakan amal ibadat serta amal jariah.

Di samping itu, perlulah juga kita bersederhana terutama dalam memilih bermacam juadah di bazar Ramadan untuk berbuka puasa supaya tidak membazir.

Tidak perlulah terlalu mengikut nafsu ketika berbuka kerana yang penting adalah ibadah berpuasa kita dan seharusnya merenungi juga golongan kurang berkemampuan untuk menghadapi Ramadan ini.

Sempena bulan penuh kemuliaan ini, teringatkan pula kisah pengorbanan dua ibu tunggal yang tabah menghadapi cabaran membesarkan anak mereka yang tidak sempurna.

Tentunya kehidupan yang mereka hadapi ketika ini lebih mencabar pada Ramadan ini kerana kemampuan wang ringgit dan kudratnya terbatas, sekali gus memerlukan pengorbanan yang lebih besar demi zuriat tercinta.

Kisah kedua ibu tunggal berkenaan pernah dilaporkan akhbar ini pada Mei lalu dan nyata sekali mereka ini adalah insan yang sangat istimewa kerana mempunyai kecekalan luar biasa walaupun berhadapan dengan onak liku kehidupan tiada tara berbanding orang lain.

Fauziah Ngah, 58, yang menetap di Flat Sri Kolam, Jalan Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu terpaksa mengharungi pelbagai cabaran membesarkan enam anak yang menghidap penyakit genetik.

Yazid Aziz, 32; Sufiya, 29; Surani, 27; Mohd Syukri Hafiz, 25; Rizal, 22, dan Mohd Amir Haikal, 13, setiap seorang mempunyai karakter tersendiri yang sukar difahami, selain bergantung sepenuhnya kepada ubat disediakan hospital.

Fauziah yang kematian suami kira-kira sembilan tahun lalu tidak bekerja kerana perlu memberi perhatian sepenuhnya kepada anak-anaknya itu.

Bagi Wan Norzaimah Wan Muhamad, 39, yang kini tinggal di Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Kampung Bukit Ara, Kuala Berang juga berliku kehidupannya selepas empat anaknya mempunyai pelbagai penyakit kronik.

Dia yang gagal dalam dua perkahwinannya hanya mampu mengambil upah menjahit baju kerana dirinya sendiri juga tidak sihat selepas mengidap kencing manis, darah tinggi dan asma.

Walaupun kedua-kedua keluarga berkenaan sudah menerima bantuan bulanan menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) tetapi tentunya ia belum cukup bagi menampung kehidupan harian, kos perubatan dan perbelanjaan sampingan.

Kedua-dua ibu tunggal itu tidak merungut mengenai kemampuannya dalam menguruskan keluarga masing-masing tetapi tentunya mengharapkan agar ada lagi pihak yang dapat membantu mengurangkan beban ditanggung mereka.

Oleh itu, alangkah bagus sempena Ramadan ini jika pihak berkaitan atau individu yang berkemampuan dapat menghulurkan sumbangan kepada keluarga berkenaan kerana tentu lebih besar ganjarannya.

Dua keluarga ini adalah sebahagian daripada golongan yang memerlukan sokongan masyarakat dan kita perlu lebih prihatin bagi membantu mereka menempuhi kehidupan seharian dan juga musim perayaan selepas ini.

Penulis Ketua Biro Harian Metro Terengganu

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Jun 2016 @ 11:07 AM