JIKA tidak dijaga dengan baik menyebabkan proses penuaan berlaku lebih awal.
Susunan Hajahfarhana Tarmudi


Kulit yang halus dan cantik menjadi idaman setiap remaja. Baik lelaki atau perempuan, mereka perlu menjaga kulit bagi mengelakkan timbul pelbagai masalah.

Kebersihan kulit perlu dijaga dengan mengamalkan gaya hidup sihat kerana kulit yang cantik mencerminkan keperibadian diri. Terdapat beberapa panduan yang boleh diguna pakai untuk membantu kesihatan dan kecantikan kulit secara keseluruhannya. Antaranya:

1. Kehidupan remaja biasanya dipenuhi dengan pelbagai aktiviti termasuk aktiviti luar seperti bersukan dan beriadah. Aktiviti luar boleh mendedahkan remaja kepada cahaya matahari dan debu yang boleh memberi kesan sampingan kepada kulit.

Pada ketika ini, disarankan supaya menggunakan krim pelindung tabir suria ketika ke sekolah atau melakukan aktiviti luar seperti bersukan mahupun beriadah.

2. Melakukan senaman baik untuk kesihatan kulit kerana ia melancar–kan perjalanan darah ke seluruh organ termasuk kulit.

Selalulah mandi untuk menjaga kebersihan kulit apatah lagi jika kita kuat berpeluh. Kulit yang normal mempunyai nilai pH antara 4.2 hingga 5.6.

3. Sabun tidak memudaratkan kulit, namun jika digunakan secara berlebihan boleh menyebabkan kulit menjadi kering. Pilih sabun yang bersesuaian jika mempunyai kulit kering.

Pada masa sama, sapukan bahan pelembap kulit selepas mandi

kerana ia membantu mengekalkan kelembapan kulit. Minyak bayi boleh digunakan untuk kulit yang kering.

Bagi kulit berminyak, tidak perlu menggunakan pelembap manakala jenis kulit sensitif pula, elakkan daripada menggunakan sabun yang mengandungi wangian dan pewarna kerana ia boleh menyebabkan radang kulit.

Kulit juga boleh menjadi kering jika kerap mandi dengan air panas.

4. Salin dan pakai pakaian bersih mengikut keperluan sekurang-kurangnya sekali atau dua kali sehari bagi menjaga kebersihan kulit.

5. Kulit muka yang tidak dijaga dengan baik akan menyebabkan proses penuaan berlaku lebih awal daripada sepatutnya.

Bagi menjaga kulit muka yang berminyak, gunakan penyegar untuk membantu menutup liang roma. Penggunaannya boleh menyebabkan kulit kurang berminyak.

Kulit berjerawat antara masalah yang dihadapi kebanyakan remaja. Jerawat ialah liang roma yang berjangkit dan tersumbat.

Jangan sekali-kali memincit jerawat kerana ia boleh menyebabkan jangkitan kuman dan meninggalkan parut.

Gunakan produk penjagaan kulit yang bebas minyak.

Solekan berminyak boleh merangsang pembiakan bakteria di muka dan membuatkan liang roma tersumbat.

6. Di sekelilling kelopak mata pula, sapukan bahan pelembap untuk mengurangkan keradangan kulit mata yang sensitif dan nipis.

7. Selain itu, perkara lain yang perlu diberi perhatian ialah pengambilan makanan yang sihat. Makanan yang berkhasiat boleh mencantikkan wajah.

Banyakkan makan dari sumber protein, vitamin dan mineral. Kulit akan mendapat manfaat yang besar dengan makanan berkhasiat termasuk lemak yang menyihatkan, protein mencukupi, sayur serta buah.

8. Elakkan daripada merokok atau terkena asap rokok kerana ia boleh menyebabkan kulit cepat berkedut.

9. Minum air dua liter atau sekurang-kurangnya lapan gelas sehari untuk memastikan tubuh berfungsi dengan baik.

Sumber: Portal rasmi MyHealth Kementerian Kesihatan Malaysia

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Jun 2016 @ 12:28 PM