ANGGOTA Jabatan Pertahanan Awam Malaysia daerah Padang Terap menunjukkan seekor ular sawa batik yang berjaya ditangkap. FOTO Rahmat Othman
Zuliaty Zulkiffli


Padang Terap: Seekor ular sawa batik seberat 10 kilogram (kg) berjaya ditangkap dalam reban ayam selepas menelan dua ekor ayam milik penduduk di Kampung Sungai Durian, di sini, pagi semalam.

Ular sawa sepanjang tiga meter itu ditangkap anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Padang Terap yang tiba di lokasi kira-kira jam 10.30 pagi.

Ular sawa itu tidak agresif ketika ditangkap kerana reptilia itu masih kekenyangan dan dipercayai berada di reban itu dua jam sebelum itu.

Ketua Operasi JPAM Padang Terap, Mohd Khairi Che Kamil berkata, dia bersama tiga rakan lain menangkap ular sawa itu yang mengambil masa kira-kira lima minit menggunakan pengepit.

“Ular sawa berkenaan dibawa pulang ke pejabat dan akan dilepaskan ke habitat asal di Hutan Simpan Pedu tidak lama lagi,” katanya ketika ditemui di pejabatnya, di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Jun 2016 @ 3:07 PM