Anggota bomba memadamkan kebakaran pada Proton Exora yang terbakar. FOTO ihsan bomba
Raja Noraina Raja Rahim

Seremban: Wanita warga Kenya maut manakala kakaknya cedera apabila kereta Perodua Myvi dinaiki terbabit kemalangan di Kilometer 269.1 Lebuhraya Utara Selatan, arah selatan, berhampiran susur Seremban, petang tadi.

Mangsa, Odugo Regina Ndanai, 23, yang juga pemandu kereta itu maut di tempat kejadian akibat parah di kepala manakala Regina Ignthai Akinyi, 28, cedera di badan.

Kejadian 3.15 petang itu dipercayai berlaku apabila tayar kereta dinaiki dua beradik itu pancit menyebabkan mangsa yang berada di laluan kanan cuba menukar laluan sebelum dirempuh kenderaan pelbagai guna (MPV) Proton Exora dari belakang.

Kemalangan itu mengakibatkan kereta mangsa terbabas dan merempuh penghadang jalan manakala Proton Exora terbakar.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Nilai Baharin Ayob berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian jam 3.25 petang sebelum sebuah jentera dan tujuh anggota ke lokasi kejadian.

"Pemandu Proton Exora sempat menyelamatkan diri dengan keluar dari kenderaannya sebelum terbakar. Penumpang Perodua Myvi yang mengalami kecederaan ringan dikeluarkan orang awam dan bomba mengambil masa lima minit untuk mengeluarkan pemandu kereta yang tersepit.

"Wanita warga Kenya itu disahkan meninggal dunia dan mayatnya dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) untuk bedah siasat," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Jun 2016 @ 6:50 PM