POLIS memeriksa mat rempit yang melakukan pelbagai kesalahan. FOTO ihsan polis
Muhaamad Hafis Nawawi


Alor Setar: Ibu Pejabat Polis Trafik Kota Setar mengeluarkan 75 saman 98 kesalahan trafik dan 12 buah motosikal disita dalam Op Samseng Jalan yang diadakan di Pekan Cina, di sini, awal pagi tadi.

Operasi bermula jam 12 tengah malam sehingga 5 pagi itu menahan 133 buah motosikal dan memeriksa 198 orang berusia 16 hingga 30-an.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, seramai 16 pegawai dan anggota polis trafik dibantu empat anggota Sukarelawan Polis Diraja Malaysia (SPDRM) bertindak menyerbu lokasi itu yang menjadi tumpuan mat rempit.

Menurutnya, hasil pemeriksaan itu kita mengeluarkan 75 saman membabitkan 98 kesalahan trafik.

“Pecahan kesalahan trafik itu adalah kesalahan nombor plat (18), salah guna Lesen Kenderaan Motor (LKM) sebanyak lapan kesalahan, tidak memakai topi keledar satu, tidak papar tanda L (2), lesen tamat tempoh (15), tidak papar tanda P (14), ubah suai motosikal (32) dan remaja bawah umur seorang.

“Kita turut menyita 12 buah motosikal kerana tidak memiliki lesen dan cukai jalan tamat tempoh,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Jun 2016 @ 3:12 PM