MASJID yang didirikan pedagang terus digunakan sehingga kini.
Ekhwan Haque Fazlul Haque
ekhwan@hmetro.com.my


Kuching: Pengunjung terutamanya pelancong, pasti tidak menyangka di sebalik deretan kedai menjual barangan harian dan pakaian di bandar raya ini, ada sebuah masjid yang usianya dianggarkan mencecah 182 tahun.

Masjid Bandar Kuching atau lebih sinonim dengan panggilan Masjid India dalam kalangan penduduk tempatan dikatakan masjid pertama yang dibina di bandar raya ini sekitar 1834 oleh pedagang dari India yang menjalankan perniagaan rempah ratus dan kain.

Jika tidak diperhatikan dengan teliti, masjid berkenaan adalah sebahagian daripada deretan kedai di sepanjang Jalan Gambir dan India Street, di sini, namun ia sebenarnya adalah sebuah masjid.

Melihat kepada strukturnya, masjid yang dibina menggunakan kayu belian ini masih lagi utuh untuk dijadikan tempat ibadat penduduk sekitar, bahkan ia mempunyai nostalgia tersendiri.

Pengerusi Pengurusan Masjid Bandar Kuching Dr Shajahan Sayed Ahmad, 56, berkata, mengikut sejarah, pembinaan masjid ini hanya sebuah pondok kecil yang dijadikan lokasi untuk pedagang daripada India untuk menunaikan solat.

Menurut Dr Shajahan, hari berganti hari, bermula dengan sebuah pondok, ia kemudiannya dibesarkan menjadi sebuah masjid hasil daripada sumbangan dana peniaga sekitarnya, melalui satu tabung khas dan ia masih diteruskan sehingga kini.

“Satu ketika, dana yang dikumpulkan peniaga digunakan untuk membeli tanah dan meluaskan kawasan masjid supaya dapat menampung lebih ramai jemaah, lagi pula ia antara masjid pertama di bandar raya ini.

“Masjid ini dibina hanya menggunakan kayu belian dan struktur kayunya masih kuat, malah mampu menampung 800 jemaah pada satu-satu masa, terutama ketika solat Jumaat,” katanya ketika ditemui.

Dr Shajahan berkata, jika dulu masjid ini dipenuhi jemaah, sebaliknya kini agak kurang kerana ada beberapa masjid lain di kawasan berdekatan.

Bagaimanapun, katanya, masjid berkenaan masih meneruskan aktiviti dan kelas keagamaan seperti belajar al-Quran, berzikir, dan madrasah kepada penduduk sekitar bandar raya ini.

“Sepanjang Ramadan ini, pengurusan masjid akan mengedarkan bubur beras kepada penduduk setempat hasil sumbangan daripada pekedai sekitar,” katanya.

Katanya, walaupun terletak di tengah deretan kedai di bandar raya ini, Masjid India masih terus kekal relevan bukan saja sebagai satu peninggalan sejarah mengenai perkembangan syiar Islam di bandar raya ini.

“Masjid ini bukan saja menjadi tempat ibadat, malah akan terus dijadikan medan untuk mengembangkan ilmu agama melalui pelbagai aktiviti yang dijalankan sepanjang tahun,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Jun 2016 @ 9:39 AM