MANGSA sesak nafas sebelum rebah dan tidak sedarkan diri pada ketinggian 200 meter dari aras laut. FOTO Adnan Ibrahim
Adnan Ibrahim

Kluang: Lelaki pengsan dan terpaksa dibawa turun dengan bantuan bomba ketika mendaki Gunung Lambak di sini, tengah hari tadi.

Leong Wye Hoong, 51, bersama isteri dan lima ahli keluarganya dipercayai mula membuat pendakian pada 11.30 pagi sebelum mengalami sesak nafas sebelum rebah dan tidak sedarkan diri pada ketinggian 200 meter dari aras laut.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kluang, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Akob Sedek berkata, sebaik melihat keadaan mangsa, seorang ahli keluarganya menghubungi pasukan penyelamat pada 12.54 tengah hari.

Satu gerakan mencari dan menyelamat dilancarkan diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan Rifngat Hussein bersama 10 orang anggota di gunung setinggi 510 meter itu.

"Pasukan penyelamat mula membuat pendakian kira-kira 1 tengah hari sebelum menemui mangsa 20 minit kemudian.

"Sebaik menemui mangsa, pasukan paramedik memberikan rawatan kecemasan sebelum membawa mangsa turun.

“Mangsa dihantar ke hospital untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Jun 2016 @ 5:28 PM