Mazizul Dani


Gombak: "Saya suka memudahkan kerja orang apabila lepas pulang dari masjid, kadang-kadang mereka akan ada rasa marah. Saya mahu mereka gembira datang ke masjid ini.

"Mereka kadang-kadang terdetik rasa marah sebab nak pulang tu lambat kerana selipar atau kasut tidak tersusun, saya nak bagi mereka rasa senang sedikit."

Itu kata Rahimi Ali Bakri, 16, yang videonya menyusun selipar dan kasut jemaah di Masjid Al-Sharif, Kampung Simpang Tiga, di sini, viral di Facebook (FB).

Dia bagaimanapun tidak tahu menahu yang tindakan mulianya itu dirakam dan mendapat respon positif daripada orang ramai kerana tidak melayari FB.

"Saya buat macam ini rasanya sejak tiga bulan lepas tetapi bukanlah setiap hari. Saya gembira juga sebab ada yang ucapkan terima kasih kepada saya.

"Saya berpegang kepada nasihat ustaz-ustaz saya supaya membantu orang dalam apa saja cara sekalipun dan mungkin ini untuk saham akhirat saya," katanya yang belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Pusu.

Rahimi, anak bongsu dari lima adik-beradik berkata, dia sering ke masjid ini untuk solat berjemaah setiap hari dengan berjalan kaki dari rumahnya di Kampung Tengah.

Sementara itu, Setiausaha Masjid Al-Shariff, Rohaizad Ramli, 57, menyifatkan Rahimi sebagai budak yang baik, rajin ke masjid dan sering mengaji al-Quran.

"Saya tengok dia ini memang budak yang baik selalu datang ke masjid, tiap-tiap waktu pun dia selalu datang ke masjid, dia selalu pegang al-Quran mengaji.

"Mungkin dia nak dapat pahala dengan cara dia menyusun selipar dan kasut dengan teratur. Sementara tunggu solat terawih, dia susun selipar untuk mudahkan jemaah nanti bila habis terawih tengok selipar dah tersusun," katanya ketika ditemui di masjid itu.

Mohd Salleh Hashim, 60, individu yang merakam video berkenaan dan berkongsi di FB tidak menyangka yang rakaman itu akan menarik perhatian orang ramai dan menganggap tindakan ini patut menjadi contoh kepada anak muda yang lain.

"Saya selalu tengok dia susun, jadi semalam saya tengok budak ni pelik, rajin betul. Jadi saya ambil video, perhatikan sampai dia habis buat, dia susun dengan ada lorong untuk 'emergency'.

"Umpama macam kalau orang nak keluar, kasut itu semua menghala ke luar. Dia ini ada idea cuma tiada orang peduli, orang tahu kasut itu siap tersusun. Jadi pada pendapat saya dia mencari pahala dengan cara begini. Alhamdulillah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Jun 2016 @ 9:46 AM