ISHAK (tengah) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur. FOTO Ghazali Kori
Sarah Zulkifli


Kuala Lumpur: Bekas Timbalan Pengerusi Eksekutif KFC Holdings Bhd (KFC), Datuk Ishak Ismail mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas tiga pertuduhan termasuk membuat kenyataan mengelirukan berhubung status Kenmark Industrial Co (M) Berhad.

Ishak, 65,yang juga ketika itu pemegang saham terbesar syarikat Kenmark membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Mat Ghani Abdullah.

Mengikut pertuduhan, beliau didakwa membuat pernyataan mengelirukan dalam sesuatu butir material yang disiarkan dalam akhbar The Star pada 5 Jun 2010 yang mungkin mendorong pembelian saham oleh orang lain.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu antara 4 dan 5 Jun 2010 di Star Publications (M) Berhad di nombor 15, Jalan 16/11, Petaling Jaya.

Dakwaan terhadapnya dilakukan mengikut Seksyen 177 (b) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 ( Akta 671) yang boleh dihukum Seksyen 182 akta sama yang memperuntukkan hukuman yang boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun dan denda minimum RM1 juta, jika disabit kesalahan.

Selain itu, beliau turut menghadapi dua lagi pertuduhan melupuskan jumlah keseluruhan lebih 58 juta unit saham syarikat sama.

Mahkamah membenarkan beliau diikat jamin RM600,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 15 Julai ini sebagai pengurusan kes.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Jun 2016 @ 1:39 PM