Mazlan dan Norazian melayan pembeli di Bazar Ramadan Bukit Chandan. FOTO Yusmizal Dolah Aling
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Kangsar: Rezeki pilihan raya. Itu kesimpulan seorang peniaga Nasi Ayam di Kuala Kangsar apabila jualannya meningkat sekali ganda sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar.

Mazlan Osman, 43, yang menjual Nasi Ayam Syiok di sini, sejak empat tahun lalu berkata, kebiasaannya dia berjaya menjual sekitar 40 bungkus pada Ramadan sebelum ini.

"Tapi kali ini ia meningkat kepada lebih 100 bungkus sehari dan kebanyakannya ada lah pembeli luar yang mungkin berkempen di Kuala Kangsar. Alhamdulillah, rezeki kami sekeluarga tahun ini," katanya yang turut mempunyai restoran di bandar Kuala Kangsar.

Menu yang menjadikan nasi ayamnya mendapat sambutan ialah Nasi Ayam Goreng Syiok yang dijual pada harga RM4.30 sebungkus berbanding RM4.60 pada hari biasa.

Dia yang mengusahakan perniagaan bersama isterinya, Norazian Abdullah Sani, 39, berkata, mereka begitu teruja kerana inilah pengalaman kali pertama berniaga di bulan puasa yang kebetulannya diadakan PRK.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Jun 2016 @ 2:53 PM