NAGATA (empat dari kiri) pada pelancaran Honda RS150R.
Erywan Norshal
erywan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Boon Siew Honda Sdn Bhd mahu menawan kedudukan pertama dalam industri motosikal negara ini dengan menyasarkan 300,000 unit jualan dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusannya, Nobuhide Nagata berkata, penguasaan pasaran 50 peratus itu bakal diperoleh dengan pelan perniagaan jangka sederhana untuk meraih semula kedudukan pertama berdasarkan pengenalan beberapa model baharu.

“Bagi sasaran tahun ini, Boon Siew Honda menjangkakan jualan meningkat kepada 110,000 unit berbanding 87,000 unit pada 2015.

‘Peningkatan’ itu dibantu oleh dua model baharu iaitu kategori sport dan transmisi automatik yang dijangka diperkenalkan pada Oktober tahun ini,” katanya ketika melancarkan Honda RS150R di sini, semalam.

Hadir sama, Pegawai Operasi Honda Motor dan Ketua Pegawai Operasi Bahagian Motosikal, Shinji Aoyama.

Bagi model Honda RS150R, Nagata berkata, pihaknya menyasarkan 12,000 unit bagi model itu dalam tempoh 12 bulan akan datang sekali gus menjadi langkah pertama syarikatnya untuk menjadi jenama nombor satu dalam industri permotoran.

“Motosikal ini akan dipasang di kilang Boon Siew Honda di Batu Kawan, Pulau Pinang dan kapasiti pengeluarannya buat masa ini sangat mencukupi.

“Dengan memperkenalkan model baharu ini, kita akan dapat membuat perubahan positif dari segi saiz pasaran kami berbanding tahun lalu,” katanya.

Sementara itu, Honda RS150R yang dilancarkan itu menjadi jentera dua roda kategori cub pertama jenama berkenaan menggunakan enjin 150cc.

RS150R dilengkapi enjin DOHC 150cc satu silinder dengan sistem penyejukan cecair yang dipadankan kotak gear manual enam kelajuan.

Ia menawarkan kuasa maksimum 15.6PS pada 9,000rpm dengan tork setinggi 13.5Nm pada 6,500rpm.

Jentera itu ditawarkan dua varian dengan empat warna membabitkan merah, biru, hitam serta gaya corak grafik Repsol.

RS150R akan berada di pengedar sah bermula Ogos ini yang dijual bermula antara RM8,213.94 sehingga RM8,372.94.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Jun 2016 @ 7:14 AM