ANAK-ANAK yatim menerima duit raya daripada penaja.
ANAK-ANAK yatim menerima duit raya daripada penaja.
Syanty Octavia Amry


Tidak hanya memperkenalkan produk terkini yang ada menerusi programnya, Jom Singgah terbitan Primeworks Studios turut fokus dalam melakukan kempen tanggungjawab sosialnya sempena Ramadan ini.

Baru-baru ini, dalam program dihoskan Maria Tunku Sabri itu, mereka mengadakan majlis berbuka puasa bersama anak yatim dan ibu tunggal daripada Rumah Titian Kasih (RTK), Kuala Lumpur dan bersama-sama berkongsi kegembiraan dengan mereka.

Selain Maria, Jom Singgah turut diacarakan Ifa Raziah dan Tun Nadia.

Memilih RTK yang terletak berhampiran Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur sebagai lokasi, Maria yang sering mengadakan majlis di situ gembira atas penerimaan mereka terhadap produksi Jom Singgah.

Namun, untuk majlis berbuka puasa kali ini Jom Singgah tidak mempromosi produk tetapi lebih kepada mengeratkan hubungan serta memberi sumbangan kepada penghuni rumah berkenaan.

Pada masa sama, Jom Singgah turut membuat rakaman edisi istimewa yang bakal ditayangkan dalam waktu terdekat ini.

“Ini adalah program sosial yang kami anjurkan atas inisiatif bersama produksi. Kesempatan ini kami gunakan berbuka puasa dengan mereka dan mengeratkan hubungan bersama.

“Selain itu, saya juga gembira apabila ada beberapa syarikat ternama yang sudi bersama-sama memberikan tajaan.

“Ada yang memberikan wang tunai, barangan keperluan harian dan juga barangan elektrik khusus untuk semua penghuni di sini,” katanya.

Jom Singgah edisi istimewa ini bakal disiarkan di TV3 mulai Khamis ini jam 12 tengah hari.

Kesempatan pada hari itu turut digunakan bagi menjayakan rakaman program 9 Soalan yang diacarakan Abu Talib Husin. Program bual bicara itu mengambil kisah Anak Angkat Kurang Upaya sebagai topik utama pada hari berkenaan.

Bakal ditayangkan pada 15 Julai depan, 9 Soalan akan disiarkan di TV9 pada jam 11 malam.

Mengulas mengenai dua rakaman serentak, Maria berkata, ini peluang untuk mereka melakukan kerja lebih awal sebelum menjelang Aidilfitri.

“Saya sudah biasa bekerjasama dengan RTK. Apabila diberi peluang mengadakan majlis berbuka puasa dan rakaman di sini, kami berbesar hati dan menggunakan peluang yang ada dengan sebaik-baiknya.

“Alhamdulillah semuanya berjalan lancar. Semua penghuni rumah ini memberi kerjasama yang baik begitu juga semua penaja yang turut serta.

“Besarlah harapan saya andai kami dapat bekerjasama lagi pada masa akan datang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Jun 2016 @ 11:57 AM