HAFIDZ bersama isteri, Nurul Shuhada.
HAFIDZ bersama isteri, Nurul Shuhada.
Michelle Gun


Baru sahaja melangsungkan perkahwinan dengan wanita pilihan hati pada 30 April lalu, pelakon Hafidz Roshdi sudah berdepan dugaan apabila peminat mengutuk paras rupa isterinya Nurul Shuhada Mat Shukri.

Selepas insiden itu, kini timbul pula dugaan baru apabila ada individu cuba menyamar sebagai isteri Hafidz dengan mewujudkan akaun Instagram menggunakan nama wanita berkenaan.

Ketika ditemui baru-baru ini, pemilik nama sebenar Muhammad Hafidz Roshdi ini berkata, akaun palsu terbabit yang menggunakan beberapa gambar isterinya disedari beberapa hari selepas mendirikan rumah tangga.

“Isteri tiada akaun Instagram dan saya menghantar mesej peribadi kepada individu berkenaan untuk meminta dia memadamkan akaun palsu itu,” katanya.

Bagaimanapun, Hafidz berkata, individu terbabit tidak memadamkan akaun itu sebaliknya menukarkan profil kepada kelab peminat isterinya dan kini sudah mempunyai lebih 44,000 pengikut.

“Saya mendapat tahu pengendali akaun itu adalah lelaki dan dia memberitahu ramai peminat mahu melihat gambar isteri,” katanya.

Pelakon drama Tundukkan Playboy Itu berkata, buat masa ini dia tidak akan mengambil tindakan tegas namun akan terus memantau akaun berkenaan.

“Memandangkan akaun itu sudah menjadi kelab peminat isteri, saya tiada masalah melainkan individu terbabit terbabit bertindak melampau,” katanya.

Ramadan pertama sebagai suami

Mengenai aktiviti sepanjang Ramadan, Hafidz yang dilantik sebagai duta F&N Syukur Selalu bersama pelakon Janna Nick mahu berehat daripada berlakon dan meluangkan masa bersama keluarga.

“Hanya ketika Ramadan saja saya dapat berehat kerana terlalu sibuk dengan karier seni. Saya cuma terbabit dengan kempen F&N Syukur Selalu yang memerlukan saya menghadiri aktiviti amal serta majlis berbuka puasa,” katanya.

Berkongsi pengalaman pertama berbuka puasa bersama isteri, Hafidz berkata, kehadiran Nurul Shuhada membuat suasana Ramadan tahun ini lebih meriah.

“Isteri pandai memasak dan minggu pertama Ramadan, kami berbuka puasa di rumah sahaja. Kemudian minggu seterusnya kami merancang berbuka puasa bersama anggota keluarga masing-masing,” katanya.

Sumbangan dana untuk Tabung Bersamamu

Sempena kempen F&N Syukur Selalu, syarikat minuman F&N akan menyumbangkan dana RM200,000 ke Tabung Bersamamu di bawah Tabung Amal Media Prima Berhad bagi meringankan beban golongan kurang bernasib baik.

Selain itu, dana tambahan RM100,000 akan disalurkan ke Tabung Bersamamu sekiranya video khas F&N Syukur Selalu mencapai sasaran 300,000 tontonan di sosial media.

Bagi menyemarakkan lagi sambutan lebaran, lagu Syukur Selalu tahun ini dinyanyikan oleh penyanyi popular Dayang Nurfaizah dan Black.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Jun 2016 @ 12:21 PM