Syanty Octavia Amry


Remy Ishak mengakui belum bersedia duduk di kerusi pengarah meskipun sudah ada beberapa pihak yang menawarkan kepadanya.

Baginya, jiwa kini lebih selesa sebagai pelakon, malah masih banyak lagi watak yang belum puas dilakonkan biarpun setiap watak dilakonkannya memberi kesan mendalam kepada penonton.

"Walaupun sudah 10 tahun terbabit dalam lakonan, saya belum puas dan banyak lagi watak yang harus saya cuba perbaiki," kata Remy kepada RAP, baru-baru ini.

Menurut Remy, sudah banyak dilakonkan, namun dia mahukan perubahan dari segi kematangan sesuatu watak yang dijayakannya.

"Saya tidak mahu orang lihat saya melakonkan watak yang sama. Nanti ia akan kelihatan biasa dan kurang menarik perhatian. Rasanya saya belum cukup baik lagi sebagai seorang pelakon.

"Justeru, tempoh 10 tahun itu mungkin lama pada orang lain, tetapi tidak pada saya yang masih memerlukan banyak perkara untuk diperbaiki.

"Jadi biarlah saya lebih fokus terhadap lakonan, mungkin satu hari nanti masanya akan tiba untuk saya duduk di kerusi pengarah tetapi bukanlah sekarang," katanya ketika ditemui selepas pelancaran drama bersiri terbaru lakonannya berjudul Antidot.

Drama 13 episod itu menggandingkan Remy dengan Kamal Adli, Nabila Huda dan Nad Zainal bakal menemui penonton di slot Aksi TV3 bermula 9 Disember ini.

Mengulas mengenai wataknya sebagai Fatah dalam Antidot terbitan Filmscape Production, Remy mengakui jalan cerita ini inspirasi daripada drama bersiri Inggeris, Walking Dead.

"Jika dilihat secara logik perkara seperti ini tidak berlaku di Malaysia, jadi tidak hairanlah jika ia diinspirasikan daripada cerita luar negara.

"Bercakap soal stereotaip hampir semua cerita lebih kurang saja yang membezakannya ialah watak seseorang itu dalam menghidupkan sebuah cerita.

"Pun begitu, dialog dalam cerita ini lebih bersahaja dan tidak terlalu serius sebagaimana watak antagonis yang saya lakonkan.

"Saya tertarik dengan watak cerita ini kerana ia lebih banyak memaparkan aksi malah babak aksi semuanya saya lakukan sendiri tanpa bantuan aksi lagak ngeri," katanya.

Selain Antidot, drama Hanya Satu menggandingkan Remy, Rita Rudaini dan Sara Ali bakal disiarkan di TV tidak lama lagi.

Dalam pada itu, Remy juga turut sibuk menjalani latihan untuk teater Takhta Tiga Ratu dengan memegang watak sebagai Megat Panji Alam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Disember 2014 @ 5:00 AM