HALL (kiri) ketika ditahan oleh Abu Sayyaf.
HALL (kiri) ketika ditahan oleh Abu Sayyaf.
Reuters

Manila: Pihak berkuasa Filipina semalam mengesahkan pembunuhan seorang lelaki warga Kanada yang dijadikan tebusan oleh militan Abu Sayyaf.

“Kami mengutuk keras pembunuhan kejam dan tidak berperikemanusiaan ke atas Robert Hall selepas menjadi tebusan kumpulan Abu Sayyaf di Sulu,” kata Presiden Filipina, Benigno Aquino dalam satu kenyataan.

Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau kelmarin berkata, seorang lagi rakyat negara itu yang dijadikan tebusan Abu Sayyaf sejak beberapa bulan lalu dibunuh.

Jurucakap tentera Filipina memberitahu, satu kepala tanpa badan ditemui berhampiran sebuah gereja di Jolo lewat kelmarin.

Bagaimanapun, pihak tentera masih belum mengesahkan identiti mangsa berkenaan.

Hall diculik militan Abu Sayyaf bersama tiga mangsa lain di sebuah resort di Pulau Samal pada September tahun lalu.

Seorang lagi tebusan warga Kanada, John Ridsdel dibunuh kumpulan berkenaan pada April lalu.

Seorang lelaki warga Norway dan wanita Filipina masih dijadikan tebusan.

Sementara itu, penasihat keselamatan bakal Presiden Filipina, Rodrigo Duterte berkata, kerajaannya yang bakal berkuasa pada 30 Jun ini akan mengambil tindakan lebih keras terhadap kumpulan penjenayah di selatan negara itu.

Abu Sayyaf sebelum ini menuntut wang tebusan berjumlah 1 bilion peso (RM88.64 juta) untuk setiap mangsa, tetapi menurunkannya kepada 300 juta peso (RM26.6 juta).

Laporan risikan awal menunjukkan Hall dipenggal 10 minit selepas jam 3 petang (waktu tempatan), di kawasan hutan berhampiran bandar Patikul di Jolo.

Media Filipina memetik jurucakap Abu Sayyaf, Abu Raami sebagai mengesahkan pembunuhan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Jun 2016 @ 11:21 AM