1. MASUKKAN minyak, apabila minyak panas masukkan pes dan tumis seketika.
2. MASUKKAN air dan tunggu sehingga mendidih.
3. MASUKKAN ketam dan tunggu sehingga ketam masak.
4. MASUKKAN gula dan garam secukup rasa.
5. MASUKKAN telur yang dipukul terlebih dulu.
6. MASUKKAN tepung yang dicampur dengan sedikit air dan kacau rata supaya tepung tidak berketul.
7. MASUKKAN mi segera dan biarkan mi sehingga lembut.
8. MASUKKAN sayuran.
9. SEDIA dihidang dan tambahkan hiasan bagi menaikkan selera hidangan.
Nor Hanisah Kamaruzaman
rencana@hmetro.com.my


Mendengar menu mi segera ketam, mungkin ada yang pelik namun hidangan mi segera berkuah dimasak bersama ketam itu bukan lagi asing.

Restoran yang menawarkan hidangan istimewa itu juga kian bertambah namun setiap satu menyediakan menu itu mengikut resipi atau ramuan sendiri.

Bagi penulis, keenakan menu itu bukan saja terletak pada kesegaran ketam yang digunakan malah pada pes kuah itu sendiri.

Berkesempatan menemu bual pemilik restoran Norfazilah Jusoh, 36, dia mengakui kunci utama resipi mi segera ketam ialah pes yang dicipta sendiri dengan beberapa ramuan.

“Semuanya bermula apabila saya memasak hidangan ini di rumah dan ahli keluarga menggemarinya. Dari situ terdetik untuk membuka restoran.

“Sebelum bersedia menawarkan hidangan ini kepada pelanggan, saya beberapa kali memperbaiki resipinya hingga akhirnya berjaya mencipta pes istimewa untuk resipi ini,” katanya.

Antara bahan yang digunakan untuk menghasilkan pes kuah ini ialah cili kering, bawang putih, bawang merah, halia, serai dan minyak untuk menggoreng.

Menurut Norfazilah, bahan berkenaan dikisar terlebih dulu sebelum digoreng dengan minyak dan sedia digunakan untuk menyediakan mi segera ketam.

Penyediaan mi segera ketam ini menjadi lebih mudah apabila pes kuah sudah disediakan lebih awal manakala pes boleh bertahan selama beberapa bulan jika disimpan dalam peti sejuk beku.

Bagi yang ingin merasakan kelainan dan keunikan resipi mi segera ketam ini, premis ini terletak di Jalan Jurutera, Puchong, Selangor.

BAHAN A (PES)

• 6 batang cili kering (direbus dan dikisar)

• 5 ulas bawang putih

• 2 biji bawang besar

• 2 inci halia

• 2 batang serai

• 1/2 cawan minyak

• Semua bahan A (kecuali minyak) dikisar sehingga halus kemudian ditumis sehingga pecah minyak.

BAHAN LAIN:

• 4 sudu pes

• 2 ekor ketam

• 2 paket mi segera (ambil mi saja)

• 2 biji telur

• 2 sudu tepung

• 4 tangkai sawi (dipotong kecil)

• 100 gram kubis (dipotong kecil)

• 1 biji tomato (dipotong baji)

• 500 mililiter air

• 6 sudu minyak (untuk menumis)

• Garam dan gula secukup rasa

• Cili padi (tambahkan untuk rasa lebih pedas)

• Bahan hiasan (jika perlu):

• Limau nipis

• Bawang goreng

• Daun sup dan daun bawang

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Jun 2016 @ 1:52 PM