PEMBERIAN geran kepada penyelidik menjadi bukti kepentingan penyelidikan sentiasa diutamakan. - Gambar hiasan
KEJAYAAN yang diraih penyelidik hingga mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa sepatutnya dimanfaatkan industri. - Gambar hiasan
PENYELIDIKAN bukan sekadar tertumpu kepada produk, tetapi mencakupi pelbagai aspek. - Gambar hiasan
Oleh Ruhaiza Rusmin


Sehingga kini, isu mengkomersialkan hasil penyelidikan di universiti tidak pernah berakhir malah jalan penyelesaian sentiasa diusahakan bagi membantu menyelesaikan dilema pihak terbabit.

Biarpun pengkomersialan bukan dianggap tanggungjawab hakiki institusi pengajian tinggi (IPT), kepentingannya dalam menyelesaikan isu tertentu seperti lambakan penyelidikan sukar dinafikan.

Dengan kata lain, pengkomersialan ibarat penyambung hayat kepada penyelidikan bagi menjana sumber kewangan diperlukan.

Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Profesor Datuk Dr Mustafa Mohd Hanefah berkata, bidang pengkomersialan adalah cabaran terbesar IPT di negara ini bagi menjamin kelangsungan penyelidikan.

Beliau berkata, pengkomersialan bertujuan menjamin penyelidikan mampu berdaya saing serta dapat dimanfaatkan golongan sasaran.

"Pengkomersialan bagaikan nadi utama yang boleh memastikan penyelidikan tidak menjadi sia-sia.

"Berapa banyak sekali pun penyelidikan dilakukan, jika aspek peng-komersialan gagal disusun dengan baik, pembaziran tetap berlaku.

"Penyelidikan dan peng-komersialan perlu selari bagi menjamin situasi menang menang kepada semua pihak terutama mengelak konflik longgokan produk penyelidikan," katanya.

Beliau berkata, tidak wujud istilah pembaziran setiap penyelidikan dilakukan kerana ia sebahagian proses pembelajaran dan pengajian.

"Cuma, jika berlaku lambakan penyelidikan, ia akan menimbulkan isu lain.

"Pengkomersialan penting bagi memastikan penyelidikan tidak berdepan konflik pembaziran serta mampu menjana semula pulangan kepada IPT.

"Namun, setiap penyelidikan dihasilkan tidak pernah membazir atau sia-sia kerana kepentingannya boleh dimanfaatkan secara menyeluruh," katanya.

Isu pengkomersialan produk penyelidikan bukan baru malah berlaku sejak negara menjadikan penyelidikan sebagai salah satu teras utama pembelajaran dan pengajaran serta antara syarat kenaikan pangkat pensyarah di IPT awam.

Ia selari bagi mencapai taraf negara maju yang menjadikan bidang penyelidikan antara cabang terpenting dalam penghasilan teknologi serta inovasi baru.

Sokongan kurang menyeluruh industri dalam hasil penyelidikan tertentu bagai merencatkan aktiviti pengkomersialan yang disasarkan walaupun hasil penyelidikan mampu dikomersialkan.

Bagaimanapun, pihak yang bertanggungjawab seperti Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) turut menggembleng tenaga membantu mengatasi dilema ini dengan menubuhkan Unit Inovasi Khas (UNIK) di bawah Pejabat Perdana Menteri pada 16 Julai 2010.

Beliau berkata, dari segi penghasilan produk penyelidikan, IPT mampu menunjukkan peningkatan kualiti dan kuantiti.

"Cuma, dalam aspek pengkomersialan, sokongan industri masih perlu diperkukuh serta diperluaskan.

"Industri begitu selektif dan memilih hasil penyelidikan berimpak tinggi, cepat dipasarkan atau lebih mempercayai penyelidikan luar.

"Senario ini yang mengekang pengkomersialan penyelidikan tempatan biarpun kemampuan hasil penyelidik tempatan bermutu tinggi," katanya mengakui sukar mengatasi konflik ini kerana industri adalah 'pemain utama' dalam menentukan pengkomersialan hasil penyelidikan.

"Apa boleh dilakukan ialah usah berputus asa melakukan penyelidikan terutama yang mampu menambat mata industri," katanya.

Menurutnya antara cabaran utama pengkomersialan ialah bagaimana mahu menyeragamkan permintaan (match matching) industri dengan penyelidikan.

"Pengkomersialan sukar dilakukan jika kedua-dua aspek ini tidak mencapai keseragaman.

"Dalam hal ini pengkomersialan dikuasai industri yang menentukan pemilihan produk penyelidikan diingini atau dipasarkan.

"Kerana itu penyelidikan perlu bersedia bagi memenuhi permintaan pengkomersialan yang berubah-ubah," katanya.

Fokus utama IPT yang lebih menjurus kepada pengembangan ilmu pembelajaran dan pengajaran serta menjalankan tanggungjawab kepada masyarakat juga adalah mengapa pengkomersialan perlu dilakukan pihak lain lebih berkepakaran.

"Kami di IPT tidak mempunyai kepakaran menyeluruh menentukan apa permintaan industri kerana fokus yang berbeza.

"Setiap penyelidikan bukan berasaskan keuntungan komersial semata-mata berbanding industri.

"Sebab itu, jalinan IPT bersama industri sangat penting," katanya.

Di negara ini, katanya, pengkomersialan masih menjadi isu utama mungkin didasari faktor tertentu.

"Berbanding di luar negara, produk penyelidikan IPT sentiasa dicari dengan industri pergi kepada institusi.

"Mereka mampu menjalin kerjasama kerana masing-masing tahu peranan yang perlu dilakukan.

"Berbanding di sini, industri kurang datang kepada kami menyebabkan persefahaman mahupun pertukaran maklumat mengenai apa diingini kurang diperoleh kedua-dua pihak," katanya.

"Bagi IPT, pengkomersialan bukan semata-mata mahu mewujudkan hubungan dengan industri tetapi memanfaatkan hasil penyelidikan kepada pengguna akhir," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Disember 2014 @ 5:01 AM