FOTO ihsan The Jetstream Journal
Azizan Hashim


Ipoh: Pemain Perak yang gagal ujian doping oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selepas perlawanan liga super pada 4 Mei lalu, nafi melakukan sebarang salah laku dan meminta ujian sampel B dilakukan.

Penafian itu dibuat melalui surat yang dihantar kepada FAM pada 10 Jun lalu.

Setiausaha Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Jamal Mohd Aris dalam kenyataan di sini, petang ini berkata, tarikh melakukan ujian sampel B masih belum ditetapkan.

Jamal yang tidak mendedahkan identiti pemain terbabit berkata, adalah tidak wajar membuat sebarang kenyataan yang boleh memprejudiskan mana-mana pihak.

"PAFA sudah dimaklumkan oleh badan induk bola sepak negara bahawa seorang pemain Perak pada perlawanan dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) gagal ujian doping apabila ujian air kencing dari sampel A yang didapati mengandungi bahan terlarang methamphetamine stimulant, melalui surat bertarikh 9 Jun 2016.

"PAFA akan menunggu keputusan ujian sampel B sebelum memutuskan tindakan selanjutnya," katanya.

Jamal turut menegaskan PAFA akan memberi sepenuh bantuan kepada pemain terbabit dalam menghadapi isu berkenaan.

Arena Metro Isnin lalu melaporkan dua pemain dari skuad Liga Super Perak dan PDRM digantung serta-merta oleh FAM selepas didapati gagal ujian doping 4 Mei lalu.

Susulan itu, penyerang PDRM Shafiq Jamal yang gagal ujian terbabit dilaporkan akan memohon melakukan ujian sampel B.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Jun 2016 @ 3:51 PM