Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) merancang untuk menambah segmen hiburan di pusat beli-belah [email protected] bagi memberi kelainan dan pilihan kepada pengunjung termasuk bukan dalam kalangan penumpang pesawat.

Pengurus Besar Kanan (Bahagian Perkhidmatan Komersial) MAHB, Faizah Khairuddin berkata, pusat beli-belah berkenaan dibina dengan tiga komponen utama iaitu perkhidmatan, pasar raya yang menawarkan barang keperluan dan hiburan.

“Dua komponen utama iaitu perkidmatan dan pasar raya sudah mula beroperasi dan kami sedang berusaha untuk menyediakan segmen hiburan bagi menyuntik kelainan dalam pengalaman beli-belah di lapangan terbang khususnya untuk pengunjung yang bukan terdiri daripada penumpang pesawat,” katanya kepada Bisnes Metro di sini.

Menurutnya, pihaknya kini giat menjalankan perbincangan dengan beberapa pengendali pawagam untuk menyediakan panggung wayang di pusat beli-belah berkenaan.

“Buat masa ini, perbincangan sedang giat dijalankan dan ia dijangka akan dimuktamadkan dalam masa terdekat,” katanya.

Menurutnya, berbeza dengan kebanyakan lapangan terbang lain, KLIA2 menawarkan peluang beli-belah bukan saja kepada penumpang yang menggunakan perkhidmatan penerbangan sebaliknya, ia turut mendapat perhatian kepada pengunjung lain.

“Sehingga kini, kira-kira 20 peratus pengunjung adalah mereka yang tidak menggunakan perkhidmatan pesawat sebaliknya datang ke sini semata-mata untuk membeli-belah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Disember 2014 @ 5:01 AM