MOHD Isa (dua dari kiri)  bersama Zakaria (tiga dari kiri) menyampaikan sumbangan zakat kepada golongan yang kurang bernasib baik di Majlis Sumbangan Zakat FGV sempena bulan Ramadan ini di menara FELDA.
MOHD Isa (dua dari kiri) bersama Zakaria (tiga dari kiri) menyampaikan sumbangan zakat kepada golongan yang kurang bernasib baik di Majlis Sumbangan Zakat FGV sempena bulan Ramadan ini di menara FELDA.
Sofyan Rizal Ishak

Kuala Lumpur: FELDA Global Ventures Holdings Bhd (FGV) akan meneliti setiap aset di bawah pengurusannya sebelum dilupuskan bagi memastikan ia mampu memberi keuntungan dan pulangan baik kepada pemegang saham kumpulan terbabit.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zakaria Arshad berkata, pertimbangan itu dijangka turut membabitkan beberapa anak syarikat dan cadangan kerjasama yang masih berada dalam perancangan FGV.

Menurutnya, langkah itu adalah sebahagian usaha FGV untuk melaksanakan penjimatan kos dan fokus kepada perniagaan terasnya iaitu perladangan sawit, getah dan pemprosesan gula.

“Kami tidak akan sewenang-wenangnya melakukan pelupusan di mana kami akan meletakkan kepentingan pemegang saham kami sebagai keutamaan demi menjamin pulangan positif pada masa depan,” katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan zakat FGV di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad yang menyerahkan sumbangan zakat kepada 400 penerima daripada pelbagai kategori asnaf membabitkan nilai RM242,000.

Kelmarin, FGV membatalkan perjanjian persefahaman dengan Innogas Technologies Sdn Bhd dan Newlight Technologies LLC bagi menghasilkan plastik mesra alam daripada sisa biomas kelapa sawit di Malaysia.

Langkah terbabit dilakukan berikutan FGV tidak dapat mencapai syarat perjanjian yang boleh diterima sekali gus menamatkan memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani pada 14 Disember 2015.

Sementara itu, Mohd Isa enggan mengulas laporan sebuah portal bahasa Inggeris yang menyatakan FELDA Investment Corp Sdn Bhd (FIC) mahu mendapatkan pinjaman Credit Suisse Group sebanyak AS$505 juta (RM2.05 bilion) untuk mengambil alih kepentingan 37 peratus dalam PT Eagle High Plantations (EHP).

“Saya tidak mahu memberi sebarang komen mengenai perkara ini sekarang dan saya akan umumkannya apabila tiba masa yang sesuai kelak,” katanya.

Dalam perkembangan sama, FGV memperuntukkan zakat berjumlah RM462,000 untuk disalurkan kepada golongan kurang bernasib baik.

Jumlah zakat yang ditunaikan pada tahun ini adalah sebanyak RM14.8 juta dan ia tidak termasuk zakat yang dikeluarkan anak syarikat iaitu MSM Malaysia Holdings Berhad (MSM).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Jun 2016 @ 7:14 AM