SEKTOR PKS dijangka menyumbang 41 peratus kepada KDNK menjelang 2020.
SEKTOR PKS dijangka menyumbang 41 peratus kepada KDNK menjelang 2020.
Oleh Abd Rahman Adam

Miri: Sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dijangka menyumbang sehingga 41 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2020 daripada 33 peratus sedia ada di bawah Pelan Induk PKS 2012-2020.

Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Abu Hassan Alshari Yahaya berkata, kerajaan akan terus meluaskan opsyen kewangan untuk PKS dengan menyediakan dana dan skim khas sama ada secara langsung atau menerusi BNM mahupun institusi perbankan.

Menurutnya, sehingga September lalu, sebanyak RM57 bilion pembiayaan diluluskan melalui institusi kewangan kepada lebih 100,000 pengusaha PKS, membabitkan 82 peratus jumlah permohonan yang diluluskan.

“Melalui institusi perbankan (komersial), pembiayaan sudah disalurkan sebanyak RM216 bilion kepada lebih 617,000 pengusaha PKS membabitkan 94 peratus pinjaman yang diluluskan.

“Jumlah pinjaman yang diluluskan itu adalah inisiatif bagi memastikan akses kepada pembiayaan terus dinikmati pengusaha PKS di negara ini,” katanya pada perasmian Karnival Pembiayaan Mikro anjuran BNM, di sini, kelmarin.

Dalam pada itu, Abu Hassan berkata, daripada pembiayaan institusi kewangan yang diluluskan, PKS dari Sarawak dan Sabah menerima lebih RM30 billion jumlah keseluruhan pembiayaan.

Katanya, pembiayaan itu disalurkan melalui pelbagai agensi, termasuk Tabung Industri Kecil dan Sederhana 2, Tabung Usahawan Bumiputera 2, Tabung Projek Usahawan Bumiputera I.

“Dari Januari hingga akhir September lalu saja, lebih 60,000 pengusaha mendapat manfaat daripada dana berkenaan dengan pembiayaan diluluskan sebanyak RM25 bilion dan hampir 15 peratus daripada jumlah itu disalurkan kepada PKS Sarawak dan Sabah.

“Memahami kebanyakan PKS terdiri daripada usahawan mikro dan kecil, kami memperkenalkan Skim Pembiayaan Mikro 2006 yang bakal menyediakan pembiayaan RM50,000 tanpa cagaran, kertas kerja atau dokumen rumit,” katanya.

Mengenai pembiayaan itu di Sarawak, Abu Hassan berkata, beberapa institusi perbankan lain yang turut menawarkan pembiayaan PKS adalah Credit Guarantee Corporation (CGC) yang kini turut mempunyai dua cawangan iaitu di Kuching dan Miri.

“ Bagi memudahkan PKS, lebih 300 ejen dilantik di seluruh Sarawak dan 35 daripadanya beroperasi di Miri dengan menawarkan perkhidmatan menerima deposit, pengeluaran tunai, pemindahan dana, pembayaran bil serta pembayaran balik pembiayaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Disember 2014 @ 5:02 AM