Sulaiman (dua dari kanan) menunjukan rampasan 23 ketulan mampat ganja bernilai RM60,000. FOTO Mohd Azren Jamaludin
Mohd Sabran Mda Sani


Johor Bahru: Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS) merampas 23 ketulan mampat ganja dengan anggaran berat 24.34 kilogram bernilai RM60,000 dalam serbuan di sebuah pangsapuri taman perumahan di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah JBS Asisten Komisioner Sulaiman Salleh berkata, serbuan 1.30 pagi itu turut menahan tiga suspek berusia 30 hingga 44 tahun.

"Bertindak atas maklumat daripada orang awam, sepasukan polis membuat serbuan di kawasan perumahan itu dan berjaya menahan tiga suspek dengan seorang daripadanya parah selepas terjun dari tingkat tujuh.

"Pemeriksaan lanjut ke atas suspek menjumpai satu kunci kereta jenis Wira berwarna hitam sebelum menemui 23 ketulan mampat ganja dibalut plastik lutsinar," katanya pada sidang media di IPD JBS di sini, hari ini.

Menurutnya, hasil semakan mendapati, dua suspek mempunyai rekod kesalahan lampau termasuk suspek yang berusia 34 tahun memiliki lapan rekod jenayah dengan enam daripadanya kes dadah.

Katanya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati.

Sementara itu, suspek berusia 34 tahun yang cedera parah itu dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Jun 2016 @ 5:59 PM