FLORENZI (kanan) bersaing dengan pemain Belgium Marouanne Fellaini.
FLORENZI (kanan) bersaing dengan pemain Belgium Marouanne Fellaini.
Reuters

Toulouse, Perancis: Kemenangan Itali ke atas Belgium diraikan sebagai kejayaan mengalahkan sebuah pasukan kaya dengan pemain yang mempunyai bakat individu namun lawan mereka hari ini, Sweden adalah pasukan yang mengharapkan kepakaran penyerang tunggal, Zlatan Ibrahimovic.

Kali terakhir Itali memenangi perlawanan pertama Euro pada 2000, ketika itu mereka berjaya mara ke final dan selepas bermula cemerlang, pasukan bimbingan Antonio Conte sekali lagi disebut bakal menjadi pencabar kepada pasukan pilihan.

Pasukan Itali kali ini dianggap paling lemah sejak beberapa tahun kebelakangan ini, mereka kekurangan pemain bintang namun dari segi taktikal, pendekatan dan usaha keras membuktikan mereka lebih baik berbanding Belgium selepas menang 2-0 dalam perlawanan pembukaan Kumpulan E.

Ia sangat berbeza dengan Sweden yang mengharapkan seorang pemain, iaitu kehebatan luar biasa Ibrahimovic, penjaring terbanyak negara berkenaan.

“Mungkin kami bukan seperti yang dicakapkan sebelum bermulanya Euro. Ramai yang tersilap dengan kata-kata mereka sebelum ini dan kami hanya fokus dan membiarkan mereka terus bercakap,” kata pemain tengah, Alessandro Florenzi.

Pemain sayap yang tidak kenal erti penat, Marco Parolo dan Emanuele Giaccherini ketika menentang Belgium menunjukkan bahawa mereka sangat bersemangat untuk berkorban demi Itali, berbeza sekali dengan Ibrahimovic yang sentiasa mengangkat bahu jika hantaran kepadanya tidak sampai ketika Sweden seri 1-1 bertemu Ireland.

Bagaimanapun, kenangan Ibrahimovic melakukan voli menggunakan tumit ketika menentang Itali di Euro 2004 dan kegagalan di Piala Dunia 2014, apabila pasukan Azzurri itu gagal melepasi halangan pertama walaupun menumpaskan England pada perlawanan pembukaan, menyebabkan mereka tidak boleh berasa terlalu puas hati.

“Ibrahimovic sering menjadi ancaman utama. Dia adalah penyerang hebat sejak Marco Van Basten, kecuali Ronaldo. Kami sedikit takut mengenai kekuatan dan kepakarannya. Bagaimanapun, kami mampu mengalahkan Sweden sama seperti menumpaskan Belgium dengan semangat sepasukan serta kerja keras,” kata pemain tengah Antonio Candreva dan Daniele De Rossi.

Jika dilihat secara keseluruhan, pasukan Itali nampak lemah apabila media negara berkenaan melaporkan Matteo Darmian cedera, penyerang Graziano Pelle pula tidak turun berlatih berikutan masalah kecergasan dan De Rossi juga sedang dipantau.

Apapun Itali sekali lagi akan terus mempercayai etika berpasukan, manakala Sweden memerlukan Ibrahimovic untuk memulakan langkah agar harapan mereka untuk berjaya di Euro 2016 terus menyala.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Jun 2016 @ 9:14 AM