SEBAHAGIAN hasil jualan karya 9 artis disumbang kepada anak yatim.
SEBAHAGIAN hasil jualan karya 9 artis disumbang kepada anak yatim.
Nor Hanisah Kamaruzaman

Mengambil kesempatan sempena Ramadan, Tujuh Art Group mengadakan pameran seni amal bertujuan membantu golongan memerlukan melalui hasil jualan karya.

Kumpulan itu terdiri daripada sembilan artis iaitu Anassuwandi Ahmad, Azman Hilmi, Dr Rosli Zakaria, Hamdan Shaarani, Jamil Mat Isa, Johan Marjonid, Zaharin Mohammad, Zainon Abdullah dan Zakaria Shariff.

Sembilan artis berkenaan bekas pelajar seni halus dari Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka (FSSR) Universiti Teknologi MARA (UiTM) sekitar tahun 80-an.

Pameran di Teratak Nur De Couture, Shah Alam, itu membuka tirai pada 4 Jun dan bakal berlangsung sehingga 29 Jun ini.

Sebahagian hasil jualan karya bakal disumbangkan kepada Rumah Amal Baitul Fitrah, Rawang.

Sebanyak 38 karya dipamerkan terdiri daripada lukisan dan arca dihasilkan daripada pelbagai medium seperti akrilik, campuran media dan logam.

Menurut Zaharin, objektif utama pameran untuk membantu golongan memerlukan menjelang Syawal selain meningkatkan minat orang ramai terhadap karya seni.

“Fokus utama penghasilan karya untuk membantu mengikut keupayaan kami dengan menyumbang sebahagian jumlah jualan kepada Rumah Amal Baitul Fitrah.

“Kami berharap karya yang dipamerkan dapat menarik perhatian orang ramai yang bukan terdiri daripada pengumpul seni untuk menghayati dan menjinakkan diri dalam seni tempatan,” katanya.

Karya dijual bermula dari RM500 hingga RM5,000 dan sehingga kini sebanyak tujuh karya sudah terjual.

Bagi yang berminat melihat atau membeli karya berkenaan, janji temu perlu dibuat dengan menghubungi talian 013-6961696 (Zakaria) atau 019-3233383 (Zaharin).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Jun 2016 @ 1:09 PM