Raja Noraina Raja Rahim


Seremban: Sebuah tapak pembinaan di sini, dikenakan tindakan penutupan sementara oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan, selepas didapati menjadi sarang pembiakan nyamuk aedes, Selasa lalu.

Pengarah Kesihatan Negeri Sembilan Dr Abdul Rahim Abdullah berkata, tindakan penutupan itu mengikut Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 (APSPP 1975).

Menurutnya, pihaknya menjalankan operasi bersepadu di sekitar daerah Seremban bagi mencegah wabak denggi dan tumpuan sebanyak 18 tapak pembinaan diperiksa.

"Daripada jumlah itu, sebuah tapak pembinaan dikenakan tindakan penutupan sementara, manakala empat tapak dikompaun kerana didapati ada pembiakan nyamuk aedes.

"Selain itu, enam tapak diberi notis kerana berpotensi menjadi tempat pembiakan atau perlindungan serangga pembawa penyakit," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, langkah penguatkuasaan itu dilakukan susulan peningkatan kes demam denggi sebanyak 60.5 peratus, iaitu 1,425 kes bagi tempoh Januari sehingga awal Jun ini berbanding 874 kes bagi tempoh sama, tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Jun 2016 @ 4:37 PM