Anggota APMM melaksanakan operasi SAR. FOTO ihsan APMM
Norul Awatif Romli


Alor Setar: Nelayan berusia 50-an dikhuatiri lemas selepas terjatuh dari bot nelayan Kelas b kira-kira dua batu nautika dari muara Kuala Kedah, di sini, pagi tadi.

Difahamkan, mangsa baru memulakan pekerjaan sebagai nelayan sejak awal bulan ini terjatuh dari bot dinaikinya ketika dalam perjalanan pulang ke jeti Kuala Kedah selepas menangkap ikan.

Pegawai Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) negeri, Leftenan Madya Maritim Mohd Yusriazrin Serad berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian kira-kira jam 12 tengah hari daripada oran awam sebelum operasi mencari dan menyelamat (SAR) diaktifkan setengah jam kemudian.

"Operasi SAR menggunakan dua aset APMM membabitkan sebuah Kapal Maritim Sugut dan sebuah bot Kilat 7 dengan kekuatan anggota seramai 22 orang. Operasi bagaimanapun, ditangguhkan pada jam 7 malam berikutan jarak penglihatan yang terhad selain keadaan cuaca mulai gelap.

"Operasi akan disambung semula jam 7 pagi esok dengan bantuan sembilan anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Kota Setar bersama dua aset milik mereka selain tujuh bot nelayan," katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.

Sementara itu, pemilik bot Teoh Poh Theat berkata, sehingga kini identiti mangsa masih belum dikenal pasti dan cubaan menghubungi tekong bot juga gagal berikutan cuaca tidak mengizinkan.

"Saya tidak dapat mengesahkan mangsa yang terjatuh kerana dia (mangsa) baru saja bekerja sejak awal bulan ini dan menaiki bot untuk keluar menangkap ikan sebanyak dua kali," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Jun 2016 @ 8:55 PM