SUHAIMI saran Malaysia jadi hab teknologi tinggi bagi industri tertentu.

Kuala Lumpur: Masers Energy Malaysia Sdn Bhd (Masers Energy), syarikat tempatan yang terbabit dalam teknologi grid pintar dan tenaga boleh diperbaharui (RE) menyarankan agar Malaysia dijadikan pusat teknologi tinggi bagi industri tertentu sekali gus menggalakkan lebih banyak kemasukan pelaburan teknologi dan berimpak tinggi.

Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Suhaimi Abdul Rahman berkata, langkah itu akan menarik minat usahawan tekno menceburi bidang berkenaan dan memberi galakan kepada pelabur dalam serta luar negara menjadikan negara ini sebagai pilihan utama.

Beliau berkata, antara usaha boleh dilakukan ialah membangunkan infrastruktur banda raya karbon untuk memberikan kesan penggunaan karbon yang rendah dan menggalakkan projek karbon yang akan menawarkan lebih banyak peluang pekerjaan berkaitan serta pada masa sama mewujudkan satu bentuk sumber ekonomi baru kepada negara.

"Usaha sama ini juga boleh dilaksanakan menerusi kerjasama awam-swasta terutama bagi projek mega yang membabitkan kepentingan awam bertujuan menarik taraf infrastruktur awam dan ini mungkin dapat dilakukan dengan pembabitan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang boleh menyediakan dana untuk tujuan ini," katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak dalam pembentangan Bajet 2015 berkata, dalam menggalakkan pelaburan berkualiti tinggi dan lebih tertumpu, pakej galakan lebih istimewa akan ditawarkan untuk projek pelaburan yang berasaskan teknologi, inovasi dan pengetahuan, membabitkan pekerja berkelayakan tinggi dan berpengetahuan, dengan gaji yang tinggi.

Beliau berkata, Kerajaan turut memperuntukkan RM1.3 bilion kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi bagi melaksanakan program berkaitan antaranya, menyediakan dana penyelidikan sebanyak RM290 juta bagi menjalankan pelbagai aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang berimpak tinggi.

Suhaimi berkata, kerajaan juga boleh mewujudkan dana permulaan yang amat terhad ketika ini bagi menggalakkan sektor kewangan tempatan untuk memberi tumpuan kepada pelaburan teknologi tinggi seperti usaha kerajaan untuk mencapai ke arah 'negara bebas karbon' yang menjadi teras Bandar Raya Grid Pintar menjelang 2030.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Oktober 2014 @ 5:09 AM