TAMPAK sempurna pada penampilan polos.
TAMPAK sempurna pada penampilan polos.
BOLEH digayakan dengan pelbagai cara.
TAMPAK kemas dan anggun pada penampilan.
Hajahfarhana Tarmudi
hajahfarhana@hmetro.com.my


Ringkas, mudah digayakan dan mampu menonjolkan penampilan sempurna membuatkan ada segelintir wanita begitu menggemari pemakaian tudung ala serban (turban).

Bukan itu saja, ia juga direka dengan saiz potongan kepala yang betul dan mempunyai kesan lilitan selendang, menjadikannya antara gaya digemari wanita moden yang berani.

Bagi memberi pilihan pelbagai, jenama yang popular dengan rekaan turban menarik, Ilham Echenta menampilkan beberapa koleksi terkini yang boleh dicuba sempena musim perayaan tahun ini.

Kebanyakan koleksi turban untuk Aidilfitri itu menggunakan material satin, bawal dan crepe. Koleksi bow turban yang direka menggunakan material satin tampak unik.

Ia direka dengan tambahan elemen reben di bahagian depan dan boleh digayakan mengikut cita rasa masing-masing. Kebiasaannya, perincian manik lebih gemar digunakan agar penampilan turban yang digayakan tidak nampak kosong.

Namun, kali ini pemilik jenama berkenaan, Faezah Ahmad Fadzil memilih untuk menggunakan elemen reben bagi menonjolkan gaya lebih elegan bagi mengelakkan penampilan tampak terlalu sarat dengan padanan pakaian yang dipenuhi manik.

Pilihan lapan warna pastel seperti kelabu dan biru muda ditampilkan untuk gaya yang lebih kasual dan glamor di hari raya. Lebih mudah apabila rekaan koleksi turban ini direka dengan tali yang lebih panjang untuk memudahkan si pemakai mengikat dan menyesuaikan dengan bentuk muka serta saiz kepala.

Bagi individu yang gemarkan pemakaian dengan penutup di bahagian leher, turban scarf edisi satin mungkin boleh dicuba. Perincian organza di bahagian hujung memberi kelainan pada penampilan.

Ia boleh digayakan mengikut penampilan yang digemari sama ada sebagai turban, skarf atau selendang agar tampil lebih moden dan mengikut trend semasa.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Jun 2016 @ 5:06 AM