Ardini Sophia Sina


Melihat poster filem The Legend Of Tarzan, ramai terkesima melihat Alexander Skarsgard, 40, melakonkan watak Tarzan. Tidak hanya memiliki wajah tampan, dia juga kelihatan sasa berbanding karakter dalam True Blood.

Skarsgard akui berusaha keras mendapatkan susuk tubuh seperti itu. Dia mempunyai jurulatih yang banyak membantu membentuk tubuhnya dalam masa enam minggu.

Tidak hanya mengawal pemakanan, Skarsgard juga tidak pernah terlepas mengikuti latihan di gimnasium. Selain itu, dia juga melakukan senaman ringan sebelum dan selepas tidur. Ia membantu mempercepat proses mendapatkan tubuh diingini.

“Kalau watak Tarzan, tentu terbayang tubuhnya yang sasa dan saya tidak mahu memusnahkan impian mereka dengan menunjukkan tubuh yang tidak punya apa-apa.

“Saya harus memelihara bayangan karakter itu. Tambah pula Tarzan sebelum ini turut menunjukkan tubuh berotot. Sebab itulah saya mengupah jurulatih peribadi agar boleh menjadi sasa dalam tempoh singkat,” katanya.

Kata Skarsgard, dia tidak pernah melakukan perkara seperti itu sebelum ini. Baginya, senaman kali ini sangat ekstrem serta memerlukan diet ketat. Dia juga mendapat nasihat daripada pakar pemakanan bagi membantu mempercepat proses itu.

“Kawalan makanan bukan hanya selama enam minggu sepanjang menjalani latihan. Ia berterusan sehingga selesai penggambaran. Dalam tempoh itu, saya hanya makan beberapa kepak ayam dan daging.

“Sudah berpenat lelah di gimnasium, saya tidak boleh makan apa saja yang terlintas di fikiran. Bagaimanapun, ada ketikanya jurulatih membawa saya makan sepuas hati.

“Saya masih ingat, dia ajak saya makan tengah hari di sebuah restoran Itali. Ia saya anggap sebagai ‘cheat day’ sebagai upah kerana saya berjaya melepasi fasa pertama.

“Saya ragu-ragu untuk memesan makanan. Dia sendiri pesan pasta untuk saya dan saya habiskan sepinggan pasta. Oleh kerana masih lapar, saya dibenarkan memesan piza dan kek tiramisu. Saya memang makan banyak hari itu,” katanya.

Bagaimanapun selepas makan tengah hari, Skarsgard dipaksa melakukan senaman dua kali ganda berbanding biasa untuk membakar kembali kalori yang dimakan tengah hari itu.

“Selepas kejadian itu, saya tidak lagi sesuka hati memesan makanan. Saya hanya makan dalam kuantiti sedikit bagi mengelakkan latihan yang menyeksakan.

“Walaupun latihan itu saya anggap sangat ekstrem, saya berpuas hati dengan hasilnya,” katanya.

Selesai penggambaran filem itu, Skarsgard mendapat banyak tawaran yang memerlukannya mengekalkan tubuh sasa itu. Mengingat kembali kesengsaraan bersenam dan diet, dia lantas menolak tanpa berfikir panjang.

“Saya tidak kisah sama ada tubuh saya selepas filem Tarzan akan berubah. Saya tidak sanggup meneruskan senaman dan pemakanan terkawal. Saya mahu makan apa yang saya suka tanpa batasan.

“Baru-baru ini saya dengar spekulasi mengatakan akan ada sekuel filem ini. Andai saya dikekalkan, saya berharap agar syarat karakter untuk sekuel itu berlainan dengan kali ini.

“Jadi sasa itu susah, untuk gemuk itu mudah. Saya berharap untuk sekuel akan datang berat badan Tarzan bertambah kerana terlalu banyak makan makanan segera dan manis,” selorohnya.

Filem The Legend Of Tarzan bakal ditayangkan pada 1 Julai depan. Ia mengisahkan Tarzan yang berpindah ke kota bersama Jane Porter selepas mereka berkahwin. Menggunakan nama John Clayton III, dia diminta ke Congo sebagai wakil perniagaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Jun 2016 @ 5:11 AM