OSPINA (dua dari kiri) dipeluk rakan sepasukan selepas menyelamatkan sepakan penalti.
AFP

East Rutherford, Amerika Syarikat: Penjaga gol Arsenal David Ospina muncul wira apabila membantu Colombia mengatasi badi penalti untuk menewaskan Peru seterusnya mara ke separuh akhir Copa America Centenario di sini, semalam.

Ospina berjaya menyelamatkan percubaan Peru untuk menjaringkan gol pada masa kecederaan sebelum menyelamatkan sepakan penalti daripada pertahanan Peru Miguel Trauco pada babak penentuan untuk memastikan kemenangan tipis menjadi milik Colombia.

Aksi suku akhir yang berlangsung hambar di depan 79,194 penonton di Stadium MetLife, East Rutherford diselesaikan menerusi penentuan penalti apabila kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan selepas 90 minit perlawanan.

Selepas Colombia berjaya meledak tiga penalti tuah mula memihak kepada mereka apabila percubaan Trauco berjaya diselamatkan Ospina.

Sebastian Perez kemudiannya menjaringkan penalti keempat Colombia untuk kedudukan 4-2 apatah lagi selepas percubaan pemain Peru Christian Cueva melepasi palang Colombia.

Kemenangan itu pastinya sesuatu yang indah buat Colombia yang tersingkir pada kejohanan sama pada peringkat sama di tangan Argentina.

Mereka akan berdepan sama ada Mexico atau Chile pada perlawanan separuh akhir di Chicago Rabu depan.

“Ada kalanya anda menang, ada kalanya anda tewas dan hari ini tuah memihak kepada kami menerusi penalti,” kata pemain Colombia James Rodriguez.

“Matlamat kami adalah mara ke separuh akhir sekurang-kurangnya dan kami berjaya melakukannya. Kini kami mahu menjuarai gelaran,” kata bintang Real Madrid itu.

Penjaga gol Ospina percaya Colombia mampu mara ke final 26 Jun ini.

“Saya memberi sedikit sumbangan dan kami mahu pergi lebih jauh,” kata Ospinan.

“Kami mampu mara ke final. Perlawanan separuh akhir pastinya sukar tidak kiralah siapa yang bakal kami temui.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Jun 2016 @ 5:21 AM