TUNKU Panglima Besar Kedah, Tan Sri Tunku Puteri Intan Shafinaz berkenan menyampaikan sumbangan kepada anak yatim diiringgi Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Pertanian dan Asas Tani, Pembangunan Usahawan dan Kebajikan Masyarakat negeri, Datuk Suraya Yaacob (kiri). FOTO Muhd Adib
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Seramai 50,000 pelancong disasarkan akan berkunjung ke Keriang Hill tahun depan apabila ia diberi nafas baru sebagai satu produk pelancongan di negeri ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Keriang Hill Sdn Bhd, Datuk Wan Ahmad Muazzan Wan Ismail berkata, Keriang Hill yang sebelum ini hanya dijadikan pameran untuk pelancong melihat rumah Melayu tradisional sudah dinaiktaraf menjadi resort yang menawarkan pelbagai aktiviti menarik dan dijangka dibuka pada hujung bulan depan.

Katanya, lebih 80 peratus kerja membaikpulih sudah siap dilakukan sejak syarikat terbabit mengambil alih Keriang Hill daripada Jabatan Pelancongan dua tahun lalu.

"Banyak chalet ini sudah rosak dan bocor kerana strukturnya yang diperbuat daripada kayu, jadi pihak kami perlu memperbaiki chalet ini bagi merealisasikan hasrat Pengerusi Keriang Hill, Tunku Panglima Besar Kedah Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim untuk menjana Keriang Hill sebagai produk pelancongan Negeri Kedah.

"Buat masa ini kita mempunyai 22 chalet, masing-masing sebuah dewan, restoran dan surau untuk kemudahan pelancong kelak serta merancang menambah 10 lagi chalet,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian sumbangan kepada anak-anak yatim di Keriang Hill di sini, malam tadi.

Majlis penyampaian sumbangan berupa wang tunai dan baucer baju raya kepada 100 anak yatim disempurnakanTunku Intan Safinaz.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Jun 2016 @ 12:34 PM