DR Syed Abdullah bertanya sesuatu kepada Syed Laeeque ketika pembedahan.
DR Syed Abdullah menerangkan mengenai pembedahan otak.
PEMBEDAHAN membuang tumor yang dilakukan oleh Dr Syed Abdullah.
Siti Zarinah Sahib

Syed Laeeque Hussain, langsung tidak menyangka masalah pertuturan yang dialaminya petanda dia menghidap tumor otak. Dia yang berasal dari Pakistan dan bekerja di Kedutaan Iran di Malaysia mulanya menganggap apa yang dialami perkara biasa.

Namun selepas membuat pemeriksaan di hospital, doktor mendapati terdapat tumor berukuran lapan sentimeter di dalam lobus otaknya.

Risau dengan apa yang berlaku, dia mendapatkan pandangan keluarga dan rakan terdekat mengenai rawatan yang perlu dilakukan.

Namun pertemuan dengan Pakar Perunding Bedah Saraf, Pusat Perubatan Sunway Dr Syed Abdullah Al-Haddad mengubah persepsi mengenai pembedahan membuang tumor yang sebelum ini dijalankan tanpa sedar atau pesakit melalui proses bius 100 peratus.

Keadaan ini berbeza dengan pembedahan yang ditawarkan pusat perubatan itu iaitu menjalankan pembedahan otak sedar.

“Saya mendapatkan penjelasan doktor mengenai pembedahan otak sedar. Pesakit boleh berinteraksi dengan doktor semasa prosedur dijalankan malah ujar doktor, interaksi ini cara paling boleh dipercayai untuk memastikan doktor tidak merosakkan tisu otak keliling yang sihat sambil mencapai silang alik kasar (gross resection) tumor.

“Saya terus bersetuju melakukannya dan ia adalah keputusan saya sendiri. Ini kerana saya tidak mahu mengambil sebarang risiko dan saya rasa ini cara paling selamat kerana tahu apa yang berlaku, “ katanya yang berkongsi pengalaman dengan media mengenai pilihannya menjalani pembedahan otak sedar.

Menceritakan pengalaman itu, menurut Syed Laeeque, ketika dibedah dia tahu apa yang sedang berlaku. Dia juga menurut apa saja diminta doktor dan sekumpulan pakar perubatan antaranya pakar bedah neuro, juruterapi pertuturan, neurofisiologis dan neuroanaestetik yang ada bersama di dalam dewan bedah.

Antara yang ada bersamanya ialah juruterapi pertuturan Cecilia Santiago yang sentiasa memantau perkembangan pertuturan Syed Laeeque. Dia meminta Syed Laeeque menggerakkan jari, mengira, mengangkat tangan dan kaki ketika sedang dibedah dan Syed Laeeque mampu mendengar dan mengikut arahan dengan baik.

Ini memang benar berlaku apabila media ditunjukkan video bagaimana Syed boleh menamakan tempat dan benda yang ditunjukkan menerusi tablet. Malah dia turut menyanyi bersama-sama. Ketika panggilan video dibuat kepada ahli keluarga, Syed boleh bertutur dalam bahasa Urdu.

“Saya sangat bersyukur kerana pembedahan berjaya dilakukan. Paling penting saya kembali normal tanpa kehilangan personaliti dan pulih dengan baik. Ini saya anggap sebagai kehidupan kedua,” katanya gembira.

Tambahnya, dia sangat bersyukur dan berterima kasih kepada isteri yang sentiasa berada di sisi ketika pembedahan dan tempoh penjagaan. Walaupun pada bulan pertama selepas pembedahan, Syed Laeeque masih mempunyai isu dengan pergerakan motor tetapi semua hanya bersifat sementara.

“Bayangkan saya mengambil cawan berisi air dan terus ke bilik air tanpa sedar,” katanya ketawa.

Menurut Dr Syed Abdullah, pembedahan otak ialah pembedahan paling berisiko tinggi kerana otak adalah organ paling kompleks yang berfungsi sebagai medium untuk berfikir, penterjemah pancaindera, pemacu pergerakan badan dan pengawal tingkah laku. Oleh itu dalam apa juga situasi bahagian ini perlu diberi penjagaan paling rapi, lebih-lebih lagi jika ia membabitkan prosedur invasif atau pembedahan.

Oleh itu, kesabaran dan sikap bertimbang rasa doktor memainkan peranan penting ketika merawat pesakit yang menghadapi kesakitan atau ketakutan dalam rawatan yang dibuat selain penggunaan teknologi canggih. Dengan adanya teknologi terkini dalam bidang perubatan menjadikan pembedahan lebih selamat manakala pesakit kurang berisiko tinggi menerima sebarang komplikasi.

Kaedah pembedahan otak sedar paling sesuai digunakan untuk membuang tumor dalam otak yang berada berhampiran dengan bahagian kemahiran bahasa iaitu pusat pertuturan dan pusat motor.

“Antara pakar lain yang terbabit dalam prosedur ini ialah juru terapi pertuturan dan ahli fisioterapi kerana keseluruhan prosedur membabitkan interaksi antara pesakit bersama pasukan di dalam bilik pembedahan.

“Lebih penting, risiko pembedahan tidak berjaya adalah kecil. Pesakit tidak perlu berasa takut atau bimbang kerana pembedahan ini menawarkan hasil yang lebih baik tanpa merosakkan tisu penting di dalam otak.

“Tumor boleh berada di mana-mana bahagian sensitif otak. Apabila doktor melakukan pembedahan pada saraf otak yang mengawal fungsi teras badan, kesilapan kecil boleh menyebabkan kesan buruk. Untuk itu ketika pembedahan sebolehnya doktor pakar ingin memberitahu keadaan pesakit dan kejayaan pembedahan tetapi pesakit tidak dapat bercakap dan bergerak, “ kata Dr Syed Abdullah.

Pembedahan otak sedar bukan untuk semua

Bagaimanapun tidak semua pesakit boleh menjalani pembedahan otak sedar. Pesakit yang sentiasa berada dalam keadaan gelisah atau tidak dapat berbaring dalam tempoh lama tidak boleh mengikuti prosedur ini kerana pembedahan dijalankan dalam masa empat atau lima jam.

Mereka yang tertidur selepas beberapa minit juga tidak layak melakukannya kerana mereka perlu sentiasa dinilai pertuturan dan fungsi motor sepanjang operasi itu. Ini kerana tiub perlu diletakkan ke dalam saluran pernafasan pesakit sebelum dan pada waktu pertengahan. Begitu juga dengan pesakit berbadan besar juga tidak sesuai menjalaninya.

Selain itu, tidak semua jenis tumor boleh dilakukan menggunakan prosedur ini. Tumor vaskular misalnya akan merangsang gentian kesakitan dan menyebabkan ketidakselesaan yang ketara.

“Oleh itu sebelum mendapat kelulusan, pesakit perlu melalui penilaian sebelum pembedahan secara menyeluruh merangkumi pemeriksaan sejarah kesihatan mereka, MRI dan spektroskopi. Penilaian ini sangat penting bagi menentukan hanya mereka yang benar-benar sesuai saja boleh menjalaninya,” katanya.

Pesakit juga perlu dimaklumkan sepenuhnya mengenai prosedur, pemulihan, tempoh berada di hospital serta sokongan keluarga atau penjaga sepanjang proses rawatan dijalankan. Selain itu, pakar perubatan perlu mengetahui yang pesakit seharusnya diberikan maklumat lengkap kerana ini dapat membantu dalam menguruskan psikologi mereka ketika pembedahan dijalankan.

Apabila seorang pesakit bersedia sepenuhnya dari segi fizikal dan psikologi, risiko komplikasi selepas pembedahan adalah rendah di samping dapat mempercepatkan proses penyembuhan.

“Sememangnya komplikasi seperti kehilangan darah atau kelemahan dalam fungsi motor akan menjadi beban kepada pesakit sekiranya mereka mengetahuinya. Sebab itu dari awal keadaan mental dan fizikal harus diberikan penekanan,” katanya yang merujuk kepada sokongan ahli keluarga supaya pesakit menjadi lebih bersemangat untuk pulih sepenuhnya.

Dalam pada itu, Dr Syed menekankan salah satu perkara yang sering terlepas di dalam jurnal perubatan ialah perasaan pesakit. Bagi pesakit, pembedahan ialah satu pengalaman menakutkan kerana mereka terpaksa bergantung kepada pakar, doktor dan ahli terapi ketika pembedahan dan selepas dibedah.

“Namun menerusi prosedur terkini pembedahan otak sedar, saya boleh mendapatkan pandangan pesakit mengenai apa yang mereka rasai. Berdasarkan pengalaman saya pernah berlaku ketika pembedahan pesakit memberitahu saya dia mempunyai kesukaran menggerakkan tangannya. Jadi saya tahu apa yang harus dilakukan dan tidak membiarkan pesakit berterusan begitu,” katanya yang berasa sangat gembira apabila ada pesakit bertemunya dan mengucapkan rasa syukur disebabkan mereka juga boleh membuat keputusan dalam pembedahan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Jun 2016 @ 5:02 AM