ARIFF Aziz mahu cipta identiti sendiri.
Georgie Joseph


Dunia lakonan tempatan sekarang ibarat gelanggang perlumbaan buat bakat baru mencari rezeki.

Bukan semua bertuah kerana lambakan pelakon sedia ada mengehadkan peluang setiap pendatang baru.

Turut mencuba nasib ialah Ariff Aziz, 27, yang tetap optimis dengan keputusannya mahu mengetengahkan bakat seninya.

Dia tidak menafikan bukan senang mahu ke depan namun bersyukur pintu rezekinya semakin terbuka.

Akan tetapi, dia mahu selangkah ke hadapan berbanding pendatang baru yang lain. Oleh itu, dia mengatur strateginya tersendiri bagi memastikan kehadirannya mendatangkan impak.

“Saya bersyukur kerana pengarah Osman Ali yakin dengan kemampuan saya dan memberi peluang membintangi dramanya. Dialah orang pertama yang membawa dan memperkenalkan saya dalam bidang lakonan.

“Apapun, saya sedar pada pengakhirannya usaha keras itu terletak pada diri sendiri jika mahu terus mara ke depan. Jadi, saya perlu tingkatkan lagi kualiti kerja dan paling penting memaparkan kesungguhan.

“Sebagai permulaan, saya mahu mencipta identiti lakonan sendiri. Saya mahu setiap watak yang dijayakan disertai dengan identiti kemampuan lakonan saya,” katanya.

Bernaung di bawah pe­ngurusan Uprising Entertainment, bekas finalis Maskulin Manhunt 2013/2014 itu juga bakal melebarkan sayap dalam bidang nyanyian.

Hakikatnya, Ariff sendiri sebelum ini memang lebih terarah kepada bidang muzik berbanding lakonan.

Bagaimanapun, tawaran lakonan datang terlebih dulu berbanding nyanyian.

“Selain bidang peragaan, sebenarnya saya sudah terbabit dalam bidang muzik. Saya menganggotai kumpulan vokal yang dinamakan Carla Band.

“Meskipun sudah berlakon, kumpulan saya masih aktif dan bakal diperkenalkan tidak lama lagi. Bagaimanapun, setakat ini semuanya masih dalam perancangan dan nantikan kemunculan kami nanti,” katanya.

Berkongsi lanjut mengenai kumpulannya itu, Carla Band memperjuangkan muzik berkonsepkan pop dan R&B.

“Sesuai dengan konsep kami selaku kumpulan vokal, itulah genre yang paling sesuai. Jika memberikan contoh terdekat, muzik kami lebih terarah kepada kumpulan yang sangat terkenal dulu, N’Sync,” katanya.

Setakat ini, Ariff sudah berlakon dalam beberapa drama dan telemovie termasuklah Tundukkan Playboy Itu, Alien Planet Cinta, Abang Sado Boleh Setel dan Akadku Yang Terakhir.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Jun 2016 @ 7:32 AM