X
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kementerian Komunikasi dan Multimedia melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menerima 403 aduan daripada masyarakat awam berhubung kes membabitkan kesalahan jelik dan ugutan antara Januari hingga Mei tahun ini.

Timbalan Menterinya Datuk Jailani Johari memberitahu persidangan Dewan Negara hari ini, daripada jumlah itu, 142 aduan berkait dengan ugutan penyebaran gambar dan video peribadi mangsa sudah dipanjangkan untuk siasatan lanjut oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Katanya, kesalahan membabitkan jenayah peras ugut atau mendedahkan maklumat individu bagi tujuan balas dendam adalah bidang kuasa PDRM, namun SKMM bekerjasama dengan PDRM dalam membanteras jenayah peras ugut di media sosial.

"Ia meliputi aspek kerjasama pemantauan, pengesanan, perkongsian maklumat dan juga aspek forensik digital," katanya menjawab soalan Senator Datuk Koh Chin Han berhubung perkara itu.

Jailani berkata, SKMM sentiasa menjalankan program kesedaran dan pendidikan bagi memupuk budaya kepenggunaan media secara bijak agar pengguna media baharu tidak terjerat dengan jenayah berkenaan.

Setakat ini, pengguna internet di Malaysia berjumlah 20.1 juta orang, manakala 16.8 juta daripada jumlah itu adalah pengguna aktif media sosial.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Jun 2016 @ 5:29 PM