TERTUDUH hadir ke Mahkahmah Sesyen Khas Rasuah Butterworth. FOTO Danial Saad
TERTUDUH hadir ke Mahkahmah Sesyen Khas Rasuah Butterworth. FOTO Danial Saad
Shamsul Munir Safini


Butterworth: Anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berpangkat Bintara Muda Maritim mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menerima rasuah RM400 di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Butterworth, hari ini.

Tertuduh, Ridzwan Che Leh, 46,mengangguk faham selepas mendengar pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Sitarun Nisa Abdul Aziz.

Ridzwan mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan atas pertuduhan di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Ridzwan pada April 2015 antara 10 malam hingga 12 tengah malam di perairan Kuala Bukit Tambun, Seberang Perai Selatan menerima wang RM400 daripada lelaki sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap nelayan yang mengutip kepah menggunakan tangguk bergalah tanpa lesen.

Pegawai Pendakwa SPRM, Amin Yaacub memohon mahkamah menetapkan ikat jamin RM15,000 terhadap tertuduh berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada.

Ridzwan yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah mengurangkan jaminan kerana perlu menyara empat orang anak yang masih di kolej dan bersekolah.

Sitarun menetapkan jaminan RM1,500 dengan seorang penjamin dan 21 Julai ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Jun 2016 @ 10:34 AM