ADIRA.
ADIRA.
Sudirman Mohd Tahir

Penyanyi Adira yang berkahwin dengan Datuk Seri Adenan Abu, 39, pada 3 Disember tahun lalu akur apabila terpaksa menyambut Aidilfitri tanpa kehadiran suami.

Menurut Adira atau nama sebenarnya Siti Adira Suhaimi, ketiadaan suaminya itu kerana perlu meluangkan masa bersama isteri pertama dan anaknya terlebih dahulu.

“Sebagai isteri kedua saya memahami situasi suami. Ia bukan masalah besar buat saya kerana masih dapat menyambut Aidilfitri bersama keluarga di Ranau, Sabah.

“Walaupun ini tahun pertama kami beraya sebagai pasangan suami isteri, saya reda dan akur. Tambahan pula, beberapa hari selepas itu suami akan pulang ke Sabah dan meraikannya dengan saya dan keluarga pula,” katanya.

Penyanyi lagu Ombak Rindu ini meluahkan rasa teruja apabila dapat menyediakan juadah bersahur dan berbuka buat suaminya sepanjang Ramadan ini.

Bagi Adira, ia cukup bermakna meskipun sepanjang dua minggu berpuasa dia tidak sepenuhnya bersama suami.

“Walaupun tidak pandai memasak, saya tetap mencuba. Sekurang-kurangnya suami dapat merasa air tangan saya. Sedap atau tidak itu belakang kira. Buat masa sekarang, saya masih dalam proses belajar memasak.

“Sedikit pun saya tidak berasa malu mengakui perkara ini. Malah ia bukan alasan untuk saya tidak ke dapur. Setakat ini saya sudah mahir menyediakan beberapa hidangan kegemaran suami termasuk ketam masak lemak cili api,” katanya.

Sambung Adira, memandangkan suaminya menggemari masakan pedas, tidak sukar untuknya menyesuaikan selera mereka.

“Ada ketikanya saya tidak masak kerana suami bawa ke bazar atau berbuka di luar.

“Ketika itu lega sedikit sebab tidak perlu memikirkan juadah yang nak dimasak,” katanya.

Peluang untuk berehat

Sepanjang beberapa tahun lalu jadual kerja Adira padat sepanjang Ramadan, berbeza kali ini apabila dia memilih untuk berehat.

Menurut Adira, keputusan itu dibuat bagi memastikan dia dapat meluangkan masa bersama suami di samping memperbanyakkan ibadah.

“Tawaran persembahan tetap ada cuma saya kurangkan sedikit. Saya sengaja mahu berehat Ramadan ini. Jika hari biasa, jadual kerja dan rutin harian saya sentiasa padat.

“Pada masa sama, saya ambil kesempatan menolong emak buat kuih raya. Justeru, saya kerap balik kampung untuk berbuka dan bersahur bersama keluarga,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Jun 2016 @ 11:49 AM