KHAIRUL (dua dari kanan) bersama rakan sepasukannya tiba di KLIA selepas meraih tempat ketiga siri ketiga Piala Dunia di Turki.
Azlan Muhammad Zain


Sepang: Pemanah negara Khairul Anuar Mohamad bersyukur dapat menunaikan permintaan bapanya untuk menempah tiket ke Olimpik Rio dalam acara berpasukan.

Bapanya, Mohamad Said, 60, meninggal dunia pada awal bulan ini, beberapa hari sebelum Khairul Anuar berlepas ke Antalya, Turki bagi memburu tiket terakhir acara berpasukan.

“Saya tahu walaupun sudah melayakkan diri ke Olimpik acara individu penghujung tahun lalu, arwah sebenarnya turut mengharapkan saya ke Rio untuk beraksi dalam acara berpasukan.

“Amanat terakhirnya saya terus fokus. Ini hadiah untuknya,” katanya yang bakal tampil buat kali kedua di pentas Olimpik selepas 2012 di London.

Khairul Anuar bergandingan bersama Haziq Kamaruddin dan Muhammad Akmal Nor Hasrin dalam memastikan tiket untuk Malaysia ke Olimpik Rio apabila meraih tempat ketiga dalam saingan kelayakan.

Sementara itu ketua jurulatih negara Lee Jae-hyung mengesahkan tiga atlet berkenaan akan ke Olimpik Rio dan berharap pemanah negara mampu sekurang-kurangnya melangkah ke separuh akhir pada edisi kali ini.

“Kita pernah mencapai suku akhir, jadi saya harap dapat diperbaiki kali ini. Semua orang mengharapkan pingat namun kondisi atlet perlu lihat pada hari pertandingan,” jelasnya.

Ditanya mengenai perancangan latihannya untuk trio pemanah negara itu, Jae-hyung menjelaskan ia akan dibincangkan dengan pihak persatuan dan Majlis Sukan Negara (MSN).

Namun beliau tidak menolak akan kembali menjalani latihan di Korea Selatan yang mempunyai ramai pemanah bagus untuk dijadikan rakan sepelatih.

Sehingga kini seramai 26 atlet negara sudah mengesahkan tiket ke Rio pada Ogos nanti dengan trio memanah wakil tunggal negara dalam acara berpasukan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Jun 2016 @ 11:18 AM