BERNAMA

Johor Bahru: Polis percaya dapat menumpaskan sindiket curi kenderaan atau dikenali "Geng Anak Bapak" dengan tertangkapnya tiga lagi anggota kumpulan itu di sini, Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asistem Komisioner Mohd Taib Ahmad berkata, ketiga-tiga mereka berumur antara 31 hingga 35 tahun, dengan dua daripadanya ialah anak beranak.

Beliau berkata penahanan mereka di sebuah kawasan di Skudai Kiri di Tampoi di sini, kira-kira 5.20 petang itu, susulan tangkapan empat lelaki pada 18 Jun di tempat yang sama.

Mohd Taib berkata polis akan menahan reman ketiga-tiga suspek selama 14 hari sehingga 3 Julai ini.

"Dalam tangkapan empat orang sebelum ini, polis merampas sebuah lori yang dilaporkan hilang di Taman Universiti serta peralatan curi kenderaan.

"Keempat-empat suspek yang berumur 21 hingga 44 tahun itu turut didapati positif dadah jenis morfin dan mempunyai rekod jenayah dadah dan curi kenderaan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Jun 2016 @ 5:15 PM