Mamee-Double Decker (M) Sdn Bhd (Mamee) baru-baru ini melancarkan kempen sambutannya, Raikan No 1 Mamee yang bermula 15 November lalu sehingga 22 Februari tahun depan.

Sempena kempen terbabit, Mamee menawarkan hadiah menarik iaitu iPhone 6 dan pelbagai hadiah istimewa lain setiap hari selama 100 hari menerusi peraduan Raikan No 1 Mamee itu.

Kempen berkenaan dianjurkan bagi meraikan kejayaan Mamee menerajui pasaran negara ini yang dicapai tiga jenama dan produknya yang paling popular antaranya Mister Potato sebagai snek kentang nombor satu di Malaysia, Mamee Monster yang juga snek mi nombor satu kegemaran di Malaysia dan Mamee Chef Laksa Kari yang dinobat sebagai mi cawan segera nombor satu di dunia.

Pengurus Besar Pemasaran Mamee, Chan Meng Yang berkata, tiga produk itu yang turut mendapat tempat di peringkat antarabangsa membuatkan mereka yakin untuk menjadi penyedia produk makanan yang dikenali di seluruh dunia.

Namun, semua itu tidak mampu dicapai tanpa sokongan padu daripada pengguna di Malaysia.

"Kejayaan kami ini adalah hasil daripada fokus yang konsisten terhadap standard kualiti paling tinggi dan kesungguhan melaksanakan inovasi.

"Mamee Chef dilahirkan atas hasil kolaborasi Mamee dan chef selebriti, Datuk Chef Ismail dalam mengeluarkan resipi hidangan tempatan kegemaran ramai.

"Pada masa sama, jenama Mamee Chef juga mendapat manfaat daripada pengenalan mesin teknologi terkini yang mampu menghasilkan mi yang menyerupai teknik menghasilkan mi tarik China tradisional atau lebih dikenali 'la mian'," katanya.

Katanya, Mamee Monster terus dekat di hati rakyat negara ini selepas 42 tahun dan ia sejajar dengan peredaran zaman, di mana generasi pertama yang menikmati snek mi ikonik itu sudah lama memasuki zaman dewasa.

"Snek mi ini juga semakin berkembang dan menjadi satu produk yang dikenali di peringkat global daripada semua peringkat usia yang terus meyukai rasa snek ini.

"Turut menawan hati rakyat Malaysia dan pengguna di lebih 100 negara ialah jenama Mister Potato dengan maskot bertemakan Mexico," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Disember 2014 @ 5:00 AM