KIAN Meng (belakang) dan Pei Jing perlu belajar dengan Peng Soon-Liu Ying.
Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Menyedari beregu campuran juga sama penting berbanding acara lain dan mempunyai prospek pingat pada Sukan Olimpik Rio 2016, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tidak menunggu lama untuk memantapkan pasangan kedua negara Tan Kian Meng-Lai Pei Jing.

Selepas beregu utama, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying memperagakan peningkatan mendadak tahun ini, kini tiba masanya Kian Meng-Pei Jing juga harus digilap untuk menjadi setanding mereka.

Langkah utama yang dilakukan BAM adalah menjadikan Kian Meng hanya pakar beregu campuran saja dan tidak perlu bermain dalam acara beregu lelaki, yang mana sebelum ini dia digandingkan dengan Low Juan Shen.

“Sekarang saya tidak bermain dalam acara beregu lelaki lagi, hanya tumpu sepenuh perhatian kepada beregu campuran. Selepas pihak pengurusan dan jurulatih melihat saya memang amat sesuai beraksi dalam acara beregu campuran,” kata Kian Meng.

Jelasnya, keputusan seperti itu memudahkannya untuk fokus dalam latihan dan cuba membaiki segala kekurangan supaya mampu mengikut jejak langkah Peng Soon-Liu Ying yang akan tampil pada Olimpik Rio, Ogos ini.

“Saya harap dalam tempoh enam bulan untuk mengakhiri musim 2016, kami setidak-tidaknya mampu mara ke separuh akhir atau akhir kejohanan bertaraf Grand Prix atau GP Emas.

“Kami juga mahu membaiki ranking untuk berada di kelompok 25 terbaik,” kata Kian Meng yang sebelum ini memulakan karier peringkat antarabangsa dalam acara perseorangan lelaki.

Ditanya mengenai kelemahan yang harus dibaiki antaranya dan Pei Jing, pemain berusia 22 tahun itu berkata, mereka perlu memantapkan lagi kombinasi dan corak bertahan.

“Kalau tengok ranking kami memang semakin dekat dengan Peng Soon-Liu Ying, namun tahap permainan masih lagi jauh. Saya dan Pei Jing perlu banyak belajar dengan mereka,” katanya.

Peng Soon-Pei Jing kini menduduki ranking ke-45 dunia dan pencapaian terbaik setakat ini adalah naib juara Masters Malaysia serta Terbuka Poland.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Jun 2016 @ 8:12 AM