MESSI (tengah) menjaringkan gol ketika menentang Amerika Syarikat.
AFP

Houston, Amerika Syarikat: Lionel Messi muncul penjaring gol terbanyak Argentina sepanjang zaman apabila juara dunia dua kali itu membenam Amerika Syarikat 4-0 untuk layak ke final Copa America Centenario, semalam.

Messi melencongkan sepakan percuma cantik pada minit ke-32 bagi menyempurnakan gol ke-55 keseluruhan ketika kempen AS berakhir dengan kekalahan memilukan di depan 70,858 penonton di Stadium NRG, Houston.

Pemain terbaik dunia lima kali itu kini mengumpul lima gol pada Copa America kali ini ketika dia menyasarkan untuk mengemudi Argentina menjuarai kejohanan utama pertama dalam tempoh 23 tahun.

Bintang Barcelona itu turut mencipta gol pertama Argentina buat Ezequiel Lavezzi dan terbabit dalam geraka bagi gol ketiga, yang disumbang Gonzalo Higuain pad aminit ke-50. Messi kemudian mengumpan kepada Higuain bagi gol keempat empat minit sebelum tamat.

“Kami bermain dengan bagus sejak hari pertama dan kami berhak mara ke final,” kata Messi, yang menyatakan rakan sepasukan banyak membantunya mengumpul 55 gol setakat ini.

“Saya gembira untuk memegang rekod ini dan saya gembira bermain dengan rakan sepasukan yang membantu menjadikannya satu kenyataan. Saya terhutang budi kepada mereka,” ujar Messi, yang kini satu gol mengatasi catatan Gabrial Batistuta dengan 54 gol.

Argentina kini akan berdepan sama ada Chile atau Colombia pada final di East Rutherford, New Jersey awal pagi Isnin ini, final kejohanan utama ketiga mereka dalam tempoh tiga tahun seklepas layak ke final Copa America 2015 dan Piala Dunia 2014.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Jun 2016 @ 8:20 AM