Kira-kira 500 pemandu teksi berkumpul menyatakan bantahan terhadap perkhidmatan teksi Uber dan Grabcar di Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur, Mac lalu. - Foto Fail
BERNAMA

Kuala Lumpur: Polis Kuala Lumpur menyangkal dakwaan kononnya lebih 50 pemandu teksi menyerang seorang pemandu Uber di KL Sentral di sini, seperti yang tersebar dalam laman media sosial sejak dua hari lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata kekecohan itu hanya membabitkan seorang pemandu teksi dan suspek berusia 44 tahun itu ditahan di Taman Selayang Utama, Baru Caves, 11.15 malam tadi.

Menurutnya, dalam kejadian tengah hari Isnin lalu, suspek dikatakan menendang kereta Uber sebelum menarik keluar seorang pelancong dan bertelagah dengan pemandu kereta berkenaan.

"Bagaimanapun, pemandu Uber itu tidak tampil membuat laporan mengenai kejadian itu. Justeru, kami memohon beliau tampil berbuat demikian," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau juga menafikan cermin kereta Uber itu dipecahkan dan pelancong luar negara itu cedera selepas ditarik keluar oleh kumpulan pemandu teksi berkenaan.

Katanya, wanita warga Iran berusia 43 tahun yang didakwa sebagai pelancong, sebenarnya pelajar sebuah universiti tempatan di Skudai, Johor.

"Beliau tiba di KL Sentral bersama anak lelakinya, dan kecederaan di ibu jarinya adalah kerana terkena beg bagasi ketika beg itu dikeluarkan suspek," katanya.

Amar Singh berkata kes disiasat di bawah Seksyen 506/323 Kanun Keseksaan dan menasihatkan pihak terbabit agar tidak bertindak sendiri sehingga melanggar sebarang undang-undang.

Katanya pihak berkaitan boleh mengemukakan sebarang aduan kepada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Jun 2016 @ 9:37 PM