Kuala Lumpur: AirAsia terus mendapat pengiktirafan dunia apabila dianugerahkan gelaran berprestij ‘World’s Leading Low Cost Airline’ bagi tahun kedua berturut-turut pada Majlis Kemuncak World Travel Awards 2014.

Pengerusi Eksekutif dan Pengasas Bersama AirAsia, Datuk Kamarudin Meranun yang menerima anugerah itu berkata, pengiktirafan itu tidak mungkin mampu dicapai tanpa kerja keras, semangat dedikasi dan kreativiti 15,000 AirAsia Allstars.

“Setiap kakitangan (AirAsia Allstars) patut berbangga dengan komitmen masing-masing apabila sekali lagi meletakkan AirAsia di peta dunia,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

World Travel Awards yang juga digelar anugerah ‘Oscar’ bagi industri pelancongan, mengiktiraf syarikat, organisasi dan jenama yang berusaha ke arah kecemerlangan industri.

AirAsia menerima pencalonan tertinggi melepasi calon lain seperti airberlin, flydubai, JetBlue Airways, Jetstar Airways dan Kulula.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Disember 2014 @ 5:01 AM