Hajahfarhana Tarmudi
hajahfarhana@hmetro.com.my

Kejayaan tidak mengenal rupa, pangkat mahupun status. Kejayaan mampu diperoleh sesiapa saja asalkan ada usaha tanpa jemu dan keinginan dalam mengejar impian.

Memiliki Sarjana Kejuruteraan Hidrolik dan Hidrologi tidak menghalang Joomizan Noordin, 31, untuk membabitkan diri dalam bidang perniagaan yang jauh berbeza daripada kemahiran dimiliki.

Dia yang berasal dari Kota Tinggi, Johor ini tidak kisah dengan statusnya yang bekerja sebagai jurutera awam sebaliknya lebih gemar dan mahukan kejayaan yang membanggakan dalam perniagaan fabrik renda yang diceburinya.

Namun dia sangat bersyukur, melalui pengalamannya bekerja makan gaji memberi kelebihan kepadanya untuk mengasah kemahiran berkomunikasi dengan lebih baik.

Memulakan bicara, Joomizan mula berjinak-jinak dengan perniagaan pada 2014. Ketika itu dia bermula dengan menjual kain kapas, namun sambutan yang diterima kurang memberangsangkan.

Tidak mahu menyerah kalah, Joomizan meneruskan usahanya dengan mengubah produk kain kapas kepada fabrik renda untuk diperkenalkan kepada pembeli dalam talian secara borong dan runcit.

Tanpa menyangka, usaha tanpa jemu itu membuahkan hasil apabila fabrik renda yang dijual mendapat sambutan ramai. Biarpun keuntungan yang diterima hanya RM600 pada bulan pertama, dia tidak kisah malah bersungguh-sungguh mencapai kejayaan sebagai usahawan renda.

Menariknya, sambutan yang diterima bukan hanya tertakluk di dalam negara saja, malah jenamanya, Jizanly turut menerima permintaan pelanggan dari Brunei, Singapura dan Indonesia.

Ketika itu, dia menyasarkan pelanggan sederhana hingga rendah bagi membantu mereka tampil menarik di majlis perkahwinan atau keraian tanpa mengeluarkan kos besar.

Fabrik renda yang dijual pula bermacam kategori, bermula daripada harga murah hingga mahal, bergantung kepada permintaan pelanggannya.

“Saya tidak pernah merancang berniaga malah langkah awal ini sebagai percubaan untuk memperbaiki diri sendiri. Apabila produk yang diperkenalkan dirasakan boleh dijual dan mampu pergi jauh, ia membuatkan saya lebih fokus.

“Prinsip saya apabila dapat lihat bidang yang diceburi mempunyai potensi dan masa depan yang baik, saya akan memberi tumpuan terhadapnya,” katanya.

Keputusan membabitkan diri dalam perniagaan secara suka-suka membuahkan hasil apabila dia tidak berhenti mencuba dan berusaha.

Joomizan akui dia bukan pakar dalam bidang fabrik apatah lagi memiliki latar belakang fesyen dan rekaan. Disebabkan tahu kelemahan diri itu, dia tidak henti belajar.

Setiap hari, dia melakukan kaji selidik mengenai fesyen terkini dalam dan luar negara. Pada masa sama, dia juga mengambil perhatian mengenai fabrik, motif dan rekaan terkini.

Ia bagi memudahkan dirinya mencari stok renda diinginkan sesuai dengan cita rasa pelanggannya. Bagi memastikan kualiti dan rekaan fabrik renda yang diinginkan sampai dalam keadaan baik, dia sendiri mencari stok hingga ke Vietnam, Indonesia atau Bangkok.

Dua atau tiga kali sebulan, dia berkunjung ke negara berkenaan untuk mendapatkan rekaan renda terkini dan berpotensi untuk mendapat permintaan tinggi.

Seboleh-bolehnya dia menolak menggunakan ejen di luar negara bagi memastikan dirinya berpuas hati dengan kualiti dan rekaan diperoleh jika mendapatkan stok terus dari kilang.

Ujarnya, di dalam kilang fabrik ada ribuan rekaan berlainan dan dia mahu pergi melihat dan memilih sendiri untuk memberi pilihan yang pelbagai kepada pelanggannya.

Cabar diri sendiri

Joomizan akui pada awal pembabitannya dalam dunia perniagaan, cabaran yang dilalui tidak banyak disebabkan sikapnya yang berhati-hati dalam semua aspek.

“Saya tidak ambil sebarang pinjaman, malah pada awal perniagaan pun tiada modal yang dikeluarkan kerana semuanya berdasarkan tempahan pelanggan. Namun, selepas dua hingga tiga bulan berniaga, saya akui cara berkenaan tidak lagi relevan terutama apabila membabitkan diri dalam perniagaan renda.

“Ini kerana kebanyakan pelanggan mahu melihat pilihan yang ada sebelum membeli. Persaingan sesama peniaga memang ada namun saya memandangnya sebagai perkara yang positif untuk terus maju.

“Jika dulu saya selalu menangis apabila ada pesaing baru yang meniru produk yang diniagakan, kini saya lebih kuat kerana beranggapan mereka menjadikan saya sebagai insipirasi untuk memulakan perniagaan sama,” katanya.

Anak bongsu daripada empat beradik ini akui sering membaca kejayaan usahawan lain untuk memberi motivasi kepada dirinya terus berusaha.

Pada masa sama, dia turut menjangkakan perniagaannya dalam tempoh beberapa tahun ke depan apatah lagi Joomizan sudah merangka perancangan untuk berhenti kerja.

Bagi matlamat dalam jangka panjang, dia mahu melihat perniagaannya mempunyai kumpulan pengurusan dan pejabat atau wisma sendiri agar tampak lebih meyakinkan di mata pelanggannya di samping menjadi bukti kesungguhannya.

“Kini, saya lebih puas kerana masa yang ada lebih banyak biarpun bekerja lebih keras berbanding makan gaji. Saya puas biarpun ada kalanya terpaksa tidur jam 3 atau 4 pagi, tidak mengapa asalkan dapat melebarkan sayap perniagaan ini.

“Kita tidak boleh membuat dua perkara dalam satu masa. Justeru, saya rela melepaskan kerja tetap saya di sektor kerajaan untuk memberi tumpuan terhadap perniagaan yang semakin berkembang,” katanya.

Ujarnya, bagi memastikan dia membuat persediaan rapi dalam mengukuhkan perniagaan dan menghadapi sebarang risiko pada masa akan datang, dia tidak menyentuh keuntungan sepanjang dua tahun berniaga untuk kepentingan diri sendiri.

Sebaliknya, semua keuntungan yang diperoleh hanya digunakan untuk perniagaan semata-mata. Selepas gigih menyimpan dan memberi kepentingan untuk mengukuhkan perniagaannya, barulah dia mampu membeli rumah dan kereta sendiri pada tahun ini hasil titik peluh berniaga.

Ujarnya, bagi memantapkan perniagaan, individu itu perlu menjaga kewangan agar ia tidak digunakan untuk kepentingan lain. Pada masa sama, jaga hubungan baik dengan pelanggan dan berikan perkhidmatan yang terbaik terutama selepas jualan.

Justeru, dia menasihatkan generasi muda hari ini yang terbabit dengan dunia perniagaan agar tidak mudah berpuas hati dengan hasil yang diperoleh.

“Jika kita mampu menjana pendapatan atau keuntungan yang banyak tetapi tidak pandai menguruskannya, ia boleh menyebabkan kita mudah tersungkur.

“Selain itu, jangan terlalu berani berniaga jika kita tidak mempunyai sumber pendapatan yang kukuh sebaliknya usaha sedikit demi sedikit sehingga perniagaan yang dibina mampu berdiri teguh,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Jun 2016 @ 12:16 PM