aweera, fiq dan hazama berpadu suara.
NIDJI
Amelina dan Syamin berduet di hadapan ribuan peminat.
Hyper Act
Oleh Michelle Gun


Kehadiran band Indonesia Nidji di Konsert Harian Metro (HM) Padat sempena Karnival HM Padat di pekarangan Stadium Malawati, Shah Alam malam kelmarin menghangatkan lagi konsert berkenaan yang turut menampilkan 11 penyanyi tempatan.

Biarpun hanya mempersembahkan empat lagu, Nidji yang dianggotai Giring (penyanyi), Rama (gitar), Ariel (gitar), Andro (bass), RunD (keyboard) dan Adrie (dram) mengubah suasana konsert menjadikannya lebih meriah.

Apa yang menarik, hampir semua penonton turut menari dan menyanyi bersama Nidji yang membawakan lagu popular mereka seperti Hapus Aku, Teroesir (Menung­gu Karma), Laskar Pelangi dan Biarlah.

Malah, Nidji turut mengubah muzik lagu Laskar Pelangi kepada reggae manakala Giring secara spontan menukar lirik lagu berkenaan dengan mengucapkan terima kasih kepada Harian Metro selain mengucapkan selamat hari ulang tahun ke-23 kepada akhbar ini yang bakal menyambutnya Mac depan.

"Terima kasih Harian Metro. Semoga anda kekal sebagai akhbar nombor satu serta berjaya menarik lebih ramai pembaca," kata Giring sambil disambut sorakan penonton.

Selain Nidji, turut menghangatkan konsert berkenaan ialah Hyper Act, Amelina, Ajai, Hazama, Fiq, Aweera, Kaka Azraff, Asmidar, finalis Akademi Fantasia 2014 Ewal dan Nuha serta penyanyi baru Syamin.

Konsert yang ditaja oleh Maxis dan Hotlink turut dimeriahkan oleh pelawak terkenal Jihan Muse dan penyampai radio Hot FM, AG selaku pengacara.

Selain Nidji, turut mendapat sambutan ialah persembahan Amelina selepas 15 tahun menyepi daripada industri muzik tanah air.

Konsert HM Padat juga adalah persembahan pertama Amelina sejak membuat kemunculan semula dan menjadi artis naungan Wake The Baby Sdn Bhd milik Ajai.

Pada usia 40 tahun dengan enam anak, dia masih kelihatan anggun memperagakan gaun hitam di pentas. Bahkan penonton terpukau dengan suaranya yang masih mantap seperti ketika zaman kegemilangannya dulu.

Dia mempersembahkan tiga lagu iaitu Seri Langkat duet bersama Syamin, Anak Dara dan pastinya lagu Rindu yang mencetuskan fenomena dangdut pada pertengahan tahun 1990-an.

Amelina berkata, konsert HM Padat sangat istimewa baginya kerana mengubat rindunya membuat persembahan di pentas.

"Ini kali pertama saya muncul selepas sudah lama bersara daripada industri seni. Terima kasih kepada penonton kerana hadir untuk menyaksikan persembahan malam ini," katanya.

Terdahulu, konsert dihadiri ribuan penonton membuka tirai pada jam 9 malam dengan persembahan gandingan Hazama, Aweera, Fiq dan Ajai mendendangkan Madah Berhelah yang dipopularkan Ziana Zain. Ia diikuti lagu Mengapa, nyanyian Nicky Astria.

Ketika itu, hujan mula lebat namun tidak mematahkan semangat penonton untuk terus menyaksikan konsert. Malah, konsert bertambah meriah dengan kehadiran peminat bola sepak yang selesai menyaksikan perlawanan Harimau Malaya dengan Vietnam di Stadium Shah Alam sekitar jam 10 malam.

Konsert diteruskan dengan persembahan Ajai menerusi lagu berjudul Gara Diriku yang diduet bersama Fahmie Mentor Legend sambil bermain piano. Dia turut menyanyikan lagu berjudul Aduh secara solo.

Persembahan seterusnya daripada Nuha mendendang­kan lagu What's Up yang dipopularkan 4 Non Blondes diikuti lagu Pertama Kali dan Salam Untuk Kekasih nyanyian Nadia.

Penonton bersorak sebaik melihat Ewal muncul di pentas. Dia mendendangkan lagu Magic berjudul Rude diikuti Kembali Semula. Konsert terus dimeriahkan dengan persembahan Fiq, Asmidar, Aweera dan Hazama.

Bagi persembahan Kaka pula, penyanyi itu menjemput seorang penonton lelaki untuk duet lagu Bawaku Pergi. Sebelum itu, dia menghiburkan penonton dengan lagu popular Chandelier, milik penyanyi terkenal dari Australia, Sia.

Tidak mahu penonton bosan dengan persembahan berterusan, Jihan dan AG turut menyampaikan cenderahati kepada penonton bertuah yang berjaya menjawab beberapa soalan ringkas dengan tepat.

Artis kegemaraan ramai, Hyper Act turut menggegarkan pentas dengan nyanyian tiga lagu hit mereka iaitu Impian, Harapan dan Hanya Aku.

Sebagai penghargaan kepada peminat, kumpulan itu menghadiahkan cenderahati kepada penonton yang menyanyikan korus Hanya Aku.

Terdahulu sebelum konsert bermula, orang ramai menyerbu gerai HM untuk bertemu dengan Amelina, Syamin dan pelakon Amar Baharin pada sesi ramah mesra peminat yang bermula jam 5.30 petang.

Aktiviti lain yang turut diadakan pada ketika itu adalah pertandingan gubahan bunga anjuran gerai meja Gen-Y dan Hati serta pertandingan melukis baju.

Selain itu, pengunjung juga berpeluang menyertai pertandingan gusti lengan, pameran motosikal serta mengunjungi gerai penaja seperti Maxis, Avon, I-Pmart, Burgerbyte dan Hemariton.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Disember 2014 @ 6:24 AM