Orang ramai mengumpul cebisan al-Quran yang bertaburan di atas jalan Yong Peng - Segamat, berhampiran bank di Labis, Johor, semalam. - Foto Fail (Ihsan Pembaca)
BERNAMA

Parit Buntar: Tindakan mengoyak al-Quran dan melemparkan kitab suci itu di atas jalan adalah perbuatan tidak wajar dan keji, kata Mufti Perak Tan Sri Dr Harussani Zakaria.

Beliau berkata setiap orang perlu menghormati al-Quran sebagai kitab suci orang Islam.

"Agama mana pun perlu menghormati kitab suci agama termasuk Bible dan dalam Islam, kita tidak menghina mana-mana agama lain.

"Perbuatan mengoyak al-Quran itu berlaku kerana emosi dan tidak tentu arah... ia mungkin provokasi dan kita tak tahu siapa melakukanya," katanya pada sidang media selepas majlis penyampaian bantuan Aidilfitri kepada 300 fakir miskin dan sumbangan kepada Majlis Agama

Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) oleh Yayasan Muhibbah Fng Ah Seng di sini, hari ini.

Setiap fakir miskin menerima sumbangan RM200 dan wakil bagi setiap 10 masjid di daerah Kerian menerima RM2,000 daripada yayasan berkenaan.

Dr Harussani mengulas berhubung kejadian al-Quran dikoyak dan dilemparkan di atas jalan di Labis, Johor yang menjadi viral di Facebook.

Cebisan al-Quran tersebut ditemui bertaburan di jalan raya dan dikutip orang ramai termasuk pelajar.

Sementara itu, penaung yayasan berkenaan, Tan Sri Dr Fng Ah Seng berkata, beliau menyalurkan zakat RM20,000 kepada MAIPk bagi menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat negara ini tanpa mengira kaum dan bangsa.

"Ini satu cara yang baik untuk memupuk perpaduan antara kaum, tanpa kira siapa, agama dan kita boleh bantu sebagai rakyat negara ini. Saya faham tiap-tiap agama termasuk agama Islam menjalankan perkara yang baik dan saya mesti tolong dan bantu.

"Saya peruntukkan RM1 juta setiap tahun untuk memberikan sumbangan bagi meringankan beban mereka yang memerlukannya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Jun 2016 @ 10:58 PM