Ismail memangku jawatan Ketua Umno Bahagian Pagoh serta-merta.


Muar: Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pagoh, Ismail Mohamed secara automatik memangku jawatan Ketua UMNO bahagian itu berikutan pemecatan penyandangnya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkuatkuasa serta merta.

Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Md Jais Sarday berkata, ia berikutan keputusan Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO hari ini yang sebulat suara membuat keputusan memecat keahlian UMNO Muhyiddin yang juga Ketua UMNO Bahagian Pagoh.

"Berikutan itu, saya mengesahkan bahawa Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pagoh, Ismail Mohamed secara automatik memangku jawatan Ketua UMNO Bahagian berkenaan berkuatkuasa serta-merta.

"Surat pengesahan kedudukannya sebagai Pemangku Ketua UMNO Bahagian Pagoh akan dikeluarkan selewat-lewatnya Isnin ini kerana ibu pejabat UMNO bercuti hujung minggu (esok dan lusa).

"Kenyataan selanjutnya akan dikeluarkan Pengerusi Badan

Perhubungan UMNO Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin selewat-lewatnya esok," katanya dalam satu kenyataan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Jun 2016 @ 12:21 AM