Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menerima tamparan apabila ketua jurulatih perseorangan, Rashid Sidek (gambar) mengakui belum pasti kekal walaupun badan induk itu menawarkan kontrak baru kepadanya.

Menurut Rashid, beliau akan mempertimbangkan tawaran diberikan BAM kepadanya sebelum membuat keputusan sama ada untuk terus kekal berkhidmat melatih pemain perseorangan negara.

“Banyak faktor perlu difikirkan. Saya juga perlu lihat kontrak ditawarkan, sama ada kekal atau tidak masih belum pasti,” kata bekas pemain kebangsaan itu yang tamat kontraknya hujung bulan ini.

Semalam dan hari ini berlangsung proses penilaian ahli panel BAM mengenai prestasi jurulatih di ibu pejabat BAM di Stadium Juara, Bukit Kiara.

Jelasnya, buat masa ini belum ada sebarang tawaran lagi dan beliau masih belum ada perancangan lain, andai kata menamatkan perkhidmatan bersama BAM.

Selain Rashid, kontrak jurulatih lain berakhir hujung bulan ini ialah Tey Seu Bock (perseorangan lelaki), Pang Cheh Chang (beregu lelaki) dan Rosman Razak (beregu wanita).

Lima panel dilantik bagi menjalankan penilaian iaitu Naib Presiden BAM Dr Koay Ban Hing, Setiausaha Kehormat BAM Ng Chin Chai, Pengurus Besar BAM Kenny Goh, pegawai Majlis Sukan Negara (MSN) Mohd Zaim Yusof dan pegawai Institut Sukan Negara (ISN) Sean Sturgess.

Sementara itu, Chin Chai berkata, laporan penilaian dilakukan itu akan dibentangkan dalam mesyuarat ahli majlis yang mungkin diadakan selewat-lewatnya awal Januari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Disember 2014 @ 6:57 AM