ISTERI Nordin, Zaitun Wahab memeriksa kesan potong pada kaki kanan suaminya.

Baling: Aidilfitri tahun ini disambut dalam keadaan sederhana oleh seorang bekas anggota polis selepas kaki kanannya dipotong 8 Jun lalu akibat kencing manis menyebabkan pergerakannya terbatas.

Nordin Ibrahim, 53, sebelum ini kehilangan kaki kirinya tiga tahun lalu akibat penyakit sama selepas menjalani pembedahan di Hospital Kulim kini menjadi kudung selepas kehilangan kedua-dua kakinya.

Menurutnya, punca kaki kanannya dipotong selepas dia terpijak paku berkarat di kawasan kedai membaiki motosikal miliknya menyebabkan kakinya bertukar hitam dan lebam tidak lama kemudian.

“Mungkin saya cuai ketika membaiki motosikal hingga tidak sedar kaki kanan terpijak paku berkarat.

“Hari raya sebelum ini walaupun kehilangan kaki kiri tetapi saya mampu memandu dan menunggang motosikal menziarahi saudara mara di Pendang, Kulim dan Sungai Petani, namun kini tidak boleh berbuat demikian,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Yasmin Kuala Ketil, dekat sini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Jun 2016 @ 6:27 AM